SEGALANYA seakan tidak menjadi buat pasukan Negeri Sembilan FC musim ini apabila dilihat seakan-akan tidak bersedia untuk menghadapi cabaran Liga Malaysia selepas cemerlang menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga keempat.
Tahun 2023 juga menyaksikan Negeri Sembilan menyambut ulang tahun penubuhan ke-100 namun segala masalah yang melanda dilihat mencemarkan perayaan Jubli Emas yang sepatutnya diraikan dengan kejayaan lebih manis.
Bermula dengan kegagalan memenuhi kuota pemain import dan juga pengambilan pemain import yang dirasakan sebagai tangkap muat, penyokong skuad Jang mula menyuarakan ketidak puashatian mereka menerusi komen-komen dan hantaran di media sosial.
Kekalahan kepada Kelantan 2-0 di Kota Bharu menjadi titik tolak kemarahan yang lebih mendalam buat para penyokong dan menerusi hantaran di laman sosial, sekumpulan penyokong menyeru agar penyokong yang hadir ketika perlawanan Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim untuk memakai pakaian serba putih sebagai tanda protes kepada pihak pengurusan kelab.
Kemarahan ini ditujukan tepat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC yang dapat dilihat jelas pada kain rentang yang bertulis 100 Tahun Kemano! CEO Out yang dinaikkan sebelum berakhir aksi menentang JDT yang menyaksikan Negeri Sembilan sekali lagi tewas dengan keputusan 3-0.
Namun begitu, aksi bertemu Harimau itu masih mampu menarik hampir 6,000 penyokong ke stadium dan menerusi rekod FLASH SUKAN, kehadiran penyokong ke Stadium Tuanku Abdul Rahman mencatatkan purata lebih 4,000 penyokong untuk 10 aksi Liga Super setakat ini.
Kehadiran kain rentang itu mendapat perhatian pengurusan Negeri Sembilan yang berjalan dan berkumpul ke arah penyokong dan dilihat memperkatakan sesuatu kepada mereka yang berlangsung dalam suasana aman dan terkendali.
Diharap kemelut antara penyokong dan pengurusan ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik yang menguntungkan kedua-dua pihak kerana tanpa penyokong, suramlah bola sepak yang boleh melemahkan semangat para pemain.