PARA penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh dikatakan antara penyokong paling bertuah di negara ini buat masa kini dengan pencapaian yang baik di dalam padang serta mendapat dokongan daripada pemilik kelab itu sendiri.
Dengan pelbagai trofi domestik dimenangi sejak ditubuhkan pada 2013, JDT juga beraksi baik di peringkat benua dan di mana jua mereka beraksi pasti akan ada para penyokong setia di belakang pasukan.
Bukan hanya di dalam padang, penyokong JDT juga diberikan ruang untuk berdialog bersama pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada sesi bertemu peminat yang sering diadakan bagi berkongsi perjalanan dan segala maklumat tentang kelab tanpa berselindung.
Penyokong JDT juga antara penyokong paling ramai memiliki pas bermusim dalam sejarah bola sepak tempatan. Tambah menarik, para pemegang pas bermusim ini diberikan peluang untuk hadir menyaksikan sesi latihan rasmi kelab di Stadium Sultan Ibrahim.
Sudah dua kali JDT membuka sesi latihan mereka tahun ini kepada pemegang pas bermusim sebagai salah satu kelebihan buat mereka yang setia kepada kelab.
Tahun ini, penyokong JDT bakal disajikan dengan dua perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai tanda penghargaan kepada penyokong dan juga tanda kerjasama global Harimau Selatan dengan kelab-kelab antarabangsa.
12 November 2022 bakal menyaksikan JDT menerima kunjungan Persis Solo, kelab Liga 1 Indonesia di Stadium Sultan Ibrahim dalam aksi persahabatan antarabangsa pertama bulan ini dengan kemasukan secara percuma.
JDT VS PERSIS SOLO FRIENDLY MATCH
Watch the friendly match between Johor Darul Ta'zim FC (JDT) and Indonesian Liga 1 club Persis Solo on Saturday, 12 November 2022 at 9.00pm.
The match will take place at the Sultan Ibrahim Stadium and entry is free. Luaskan Kuasamu Johor. pic.twitter.com/NoOZYSbUws
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) November 9, 2022
Perlawanan ini bukan sahaja akan memberikan nilai tambah kepada penyokong JDT malah ianya juga akan meluaskan lagi kuasa JDT di Indonesia yang semakin mendapat perhatian masyarakat seberang hasil kejayaan dan corak permainan yang menarik.
Pada 28 November 2022 bakal menjadi satu lagi sejarah buat Harimau Selatan apabila bakal beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund.
Meskipun perlawanan ini dikhabarkan bakal dikenakan bayaran, namun atas apa yang telah diberikan kepada para penyokong, perkara ini seharusnya tidak melemahkan semangat mereka untuk hadir memberikan sokongan.
Perkara-perkara seperti ini perlu dijadikan sebagai contoh oleh kesemua kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia. Pastikan visi dan misi dikongsikan dengan jelas, hargai para penyokong setia dan sentiasa adakan sesuatu perkara yang memberikan nilai tambah buat kesemua penyokong.