“SYUKUR dan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor”.

Itulah luahan dan ucapan yang diberikan oleh majoriti penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang nyata gembira untuk sama-sama menyambut malam gemilang ‘Decade of Dominance’ di Stadium Sultan Ibrahim.

Rata-rata penyokong yang ditemubual FLASH SUKAN teruja dan tidak sabar untuk menyaksikan sambutan kejuaraan Liga Super 10 tahun berturut-turut selain tiba awal untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan sebelum sepak mula perlawanan menentang Penang FC berlangsung jam 5.30 petang.

Penyokong JDT nyata gembira dan tidak pernah bosan dengan kejayaan demi kejayaan Harimau Selatan dengan menganggap perkara ini umpama tuah kerana dapat melihat sendiri sejarah ini dilakar di hadapan mata sendiri.

“Kita perlu bersyukur kerana dikurniakan seorang pemilik yang tahu dan faham tentang bola sepak. Bayangkan penyokong lain terpaksa menunggu bertahun lamanya untuk memenangi piala tetapi penyokong JDT dapat melihat empat piala dijulang dalam setahun,” kata seorang penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad.

Seorang lagi penyokong, Rizal pula berkata lapan piala dalam dua musim adalah perkara yang sukar untuk dilakukan dan dia gembira untuk turut berada di dalam lipatan sejarah JDT.

“Kali terakhir piala domestik dimenangi pasukan lain adalah Piala Malaysia 2021 dan sejak itu semua piala menjadi milik JDT. Ini adalah sejarah dan saya bangga kerana dapat menyaksikan keunggulan ini di hadapan mata saya dan terima kasih kepada TMJ atas usahanya menaikkan martabat bola sepak negeri Johor,” jelasnya.

Pelbagai aktiviti dapat dilakukan para penyokong yang tiba awal di Stadium Sultan Ibrahim dan sudah pasti malam kemuncak ‘Decade of Dominance’ yang bermula jam 8 malam sekali lagi akan menjadi buah mulut penyokong bola sepak tempatan.

Sejak ditubuhkan pada 2013, JDT berjaya memenangi 26 piala dengan 10 kejuaraan Liga Super, lapan Piala Sumbangsih, empat Piala Malaysia, tiga Piala FA dan satu Piala AFC selain bergelar juara quadruple sebanyak dua tahun berturut-turut.