SEORANG penyokong tegar Kedah Darul Aman (KDA) FC yang tidak mahu dikenali namanya, meluahkan rasa kecewa setelah membeli tiket bermusim grandstand 2024/2025 tetapi tidak mendapat tempat duduk yang dijanjikan.

Penyokong tersebut terpaksa duduk di tangga simen yang tidak selesa dan penuh sesak semasa hadir untuk pertembungan separuh akhir pertama Piala FA 2024-25 antara Kedah lawan Johor Darul Ta’zim, menyebabkan pengalaman menonton perlawanan menjadi sangat tidak memuaskan.

Penyokong dari Tunjang ini telah membayar harga yang tinggi untuk tiket musim dengan harapan dapat menikmati perlawanan dalam suasana yang selesa dan dengan pemandangan yang baik.

Malah, pemandangan dari tempat duduk tersebut juga tidak jelas, ada pagar yang menghalang pengalaman menonton perlawanan yang sepatutnya menarik.

Antara penyokong yang terpaksa duduk di tangga simen walaupun memiliki dan membeli tiket grandstand semalam.

“Saya rasa sangat rugi. Saya bayar mahal untuk tiket bermusim, tapi tak dapat tempat duduk yang selesa. Pemandangan pun tak cantik. Saya sangat kecewa,” kata penyokong tersebut dengan nada penuh kesal.

Apa yang lebih menyedihkan adalah penyokong ini membawa anaknya bersama untuk menikmati perlawanan, tetapi terpaksa duduk di tangga yang sempit dan tidak selesa. Situasi ini tidak hanya menyukarkan mereka untuk menonton perlawanan dengan baik, tetapi juga menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dan keselesaan anaknya.

“Saya bawa tiga anak saya, tapi terpaksa duduk di tangga. Saya risau tentang keselamatan dan keselesaan anak saya. Ia sangat sesak dan padat. Ini bukan pengalaman yang saya mahukan untuk anak saya,” luahnya lagi.

Ruang pintu masuk ke tempat duduk grandstand penuh dengan penyokong Sang Kenari.

Penyokong tersebut berharap agar pihak pengurusan KDA FC dapat mengambil tindakan segera dan melakukan pemantauan yang lebih teliti terhadap keadaan tempat duduk di stadium. Dia  juga berharap agar penyokong yang membeli tiket bermusim diberikan tempat duduk yang sewajarnya sesuai dengan harga yang dibayar.

“Saya harap KDA FC boleh buat pemantauan dan pastikan penyokong yang beli tiket bermusim dapat tempat duduk yang betul-betul sesuai dengan harga yang dibayar. Kami datang dari jauh, dari Melaka, tapi sangat mengecewakan bila kena duduk di tangga simen yang keras,” tambahnya lagi dengan rasa geram.

Stadium Darul Aman sesak sejam jam 7 petang.

Pengalaman ini menunjukkan bahawa terdapat keperluan mendesak untuk pihak pengurusan KDA FC memperbaiki sistem penjualan dan pengagihan tempat duduk di stadium.

Harapan para penyokong adalah untuk menikmati perlawanan dalam suasana yang selesa dan selamat, terutamanya apabila telah membayar harga yang tinggi untuk tiket bermusim.

Semoga isu ini dapat diselesaikan dengan segera untuk memastikan kepuasan dan kesetiaan penyokong KDA FC terpelihara.