KELAB Peminat Bola Sepak Kedah (PBK) yakin skuad Sang Kenari akan bangkit dengan prestasi lebih mantap apabila bertemu Bali United dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar pada Jumaat.

Presidennya, Fazli Mansor berkata, dengan kehadiran dua pemain import baharu dapat memperkemaskan lagi mutu permainan Kedah Darul Aman (KDA) FC di peringkat Asia.

“Kami yakin pasukan Kedah akan turun dengan sasaran mencatat kemenangan walaupun kita tahu bermain di tempat lawan.

“Kemasukan Sanrawat Dechmitr dan Mahmoud Al-Mardi adalah masa yang tepat dan kami sebagai penyokong menyambut baik langkah pengurusan kelab membuat perancangan teliti.

“Sebagai penyokong, semangat kami tetap kekal utuh bersama pasukan Kedah dan pastinya semua pemain juga mahu bangkit meraih kemenangan pertama di pentas Piala AFC musim ini,” katanya.

Fazli meramalkan taktikal berbeza mungkin akan ditampilkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak berbanding dalam kempen domestik.

“Saya mempunyai keyakinan dengan semua pemain Kedah walaupun perlu berdepan dengan sebuah kelab berkualiti seperti Bali United. Saya jangka persaingan sengit akan berlaku,” ujarnya.

Kedah akan memulakan kempen menentang juara Liga 1 Indonesia musim 2019, Bali United sebelum menghadapi kelab Kaya FC dari Filipina pada 27 Jun.