SELEPAS Stadium Nasional Bukit Jalil disahkan sebagai venue untuk perlawanan akhir Piala AFC antara Kuala Lumpur City FC dan Al-Seeb dari Oman, rata-rata banyak penyokong KL City tidak berpuas hati dengan keputusan ini.

Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai gelanggang final kerana Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) meletakkan syarat lampu limpah stadium haruslah melebihi atau pada kadar 1800 lux dimana Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras tidak dapat memenuhi piawaian itu.

Selain itu, ada ura-ura juga mengatakan bahawa pihak AFC ingin menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) dan hanya dua stadium sahaja di Malaysia yang mampu untuk melaksanakan tugas ini.

 

 

 

Dua stadium tersebut adalah Stadium Nasional Bukit Jalil dan juga Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri milik Johor Darul Ta’zim (JDT) dan atas sebab itu Stadium Nasional dipilih sebagai venue final.

Perkara ini nyata tidak menyenangkan hati penyokong KL City yang menganggap ini adalah sejarah terbesar buat kelab dan Stadium Cheras sepatutnya menjadi saksi permainan kelab itu beraksi.

Malah ada penyokong yang menggunakan media sosial untuk meluahkan kemarahan mereka dengan menuding jari kepada pihak penyelia stadium yang dikatakan gagal menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawabkan.

Pelbagai solusi turut dicadangkan dan kemuncaknya mereka kini telah melakukan petisyen untuk memastikan final Piala AFC dilangsungkan di Stadium Cheras dan bukannya di Bukit Jalil.

“KL City buat julung kalinya telah melangkah ke pusingan akhir Piala AFC Cup 2022 dan telah dipilih sebagai host oleh AFC. Namun, ada cadangan untuk perlawanan akhir tersebut diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, bukannya stadium KL City melihat kepada fasiliti dan keperluan AFC seperti kelengkapan teknologi VAR.

“Kami sebagai penyokong disebaliknya ingin menyampaikan hasrat kami agar pengurusan mempertimbangkan perlawanan akhir tersebut diadakan di Stadium Bola Sepak Cheras, memandangkan stadium tersebut merupakan stadium keramat KL City.

“Jatuh bangun kami adalah dari stadium tersebut, dan kami ingin lihat KL City berpeluang menjulang piala berprestij AFC Cup dalam stadium yang sama,” tulis petisyen yang dimulakan hampir 24 jam yang lalu.

Semangat yang ada pada penyokong Kuala Lumpur City FC ini harus diberikan pujian kerana mereka adalah tulang belakang pasukan yang sentiasa berada bersama pasukan tanpa mengira prestasi kelab.

Namun begitu, tindakan ini juga harus dilihat dari sudut positif oleh pengurusan KL City bagi memastikan stadium sentiasa berada pada tahap terbaik mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh AFC.

Ia juga boleh dijadikan sebagai contoh buat kelab-kelab yang bakal bersaing di saingan kelab AFC tahun hadapan agar stadium masing-masing dapat digunakan bertepatan dengan piawaian AFC bagi mengelakkan kerugian terpaksa beraksi di tempat lain.