SKUAD hoki remaja negara mendapat sokongan tambahan apabila penyokong Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim yang menunggu aksi final Piala Malaysia jam 9 malam meluangkan masa memberikan sokongan kepada perlawanan Hoki Piala Dunia Remaja di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Majoriti penyokong Terengganu yang hadir sejak dari pagi selepas menempuh perjalanan sepanjang malam tidak melepaskan peluang menyaksikan aksi hoki bertaraf antarabangsa selain mengisi masa sementara menunggu pintu Stadium Nasional dibuka pada jam 5 petang.
Seorang penyokong Terengganu yang ditemui FLASH SUKAN, Kamarulzaman Jusoh berkata dia dan keluarga bertolak dari Kuala Berang jam 2 pagi dan tiba di Bukit Jalil jam 9 pagi untuk sama-sama merasai bahang final Piala Malaysia.
Selain menyokong Terengganu, dia dan keluarga tidak melepaskan peluang untuk memberikan sokongan kepada skuad hoki remaja negara yang beraksi di Piala Dunia Remaja kerana baginya inilah peluang menyaksikan aksi antarabangsa di depan mata sendiri.
“Kami bertolak dari Kuala Berang jam 2 pagi dengan rakan-rakan yang lain. Tiba di Bukit Jalil lebih kurang jam 9 pagi dan kami terus ke stadium hoki sebab lebih mudah dan selesa dengan kemudahan tandas dan surau untuk kami berehat.
“Peluang untuk saksikan perlawanan hoki antarabangsa juga menarik minat kami dan meskipun Malaysia tewas tetapi kami berpuas hati kerana dapat berikan sokongan kepada skuad remaja negara,” katanya ketika ditemui di Stadium Hoki Nasional.
Ditanya apa lagi perancangan mereka sebelum masuk ke stadium, Kamarulzaman berkata mereka mahu menjenguk Karnival Madani yang turut berlangsung di perkarangan Stadium Nasional sepanjang hujung minggu ini.
Penyokong tegar skuad Penyu itu juga berharap satu perlawanan yang menarik untuk Terengganu menamatkan kemarau kemenangan Piala Malaysia sepanjang 22 tahun meskipun terpaksa akur dengan keadaan padang yang kurang baik.