KURANG 24 jam insiden selisih faham antara segelintir penyokong dan pemain Selangor FC (SFC), satu kenyataan rasmi pada Selasa pagi telah dikeluarkan bagi menjernihkan kembali suasana harmoni kedua-dua pihak.

“Bola sepak menyatukan ramai di seluruh dunia setiap hari. Di SFC, setiap individu adalah sama penting baik daripada barisan pengurusan, jurulatih, pemain, rakan kongsi sehingga peminat.

“Meskipun mempunyai perbezaan pendapat, kita semua berkongsi matlamat yang sama untuk Selangor FC dan hanya mahukan yang terbaik untuk kelab ini,” katanya kenyataan itu.

 

Pada Isnin, tular satu video di media sosial selepas perlawanan Liga Super antara SFC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang membabitkan antara pemain dan penyokong.

Berlaku sedikit ketegangan melibatkan ketua pasukan SFC, Safuwan Baharudin yang dimaki penyokong sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Walaupun kami menggalakkan kebebasan untuk menyuarakan pendapat demi kebaikan kelab, kami percaya kita harus sentiasa prihatin dengan cara mesej disampaikan kerana ianya boleh memberi kesan negatif terhadap kehidupan dan kesihatan mental pihak terbabit.

“KIta harus memahami bukan mudah menangani sebarang cemuhan, cacian dan tohmahan negatif. SFC menyokong pendekatan positif tanpa abaikan nilai budi pekerti, sikap saling menghormati dan adab antara satu sama lain,” tambah kenyataan itu lagi.