PEMAIN tengah Bahrain, Kamil Al- Aswad mengakui kebanjiran Pemain Ke-12 pasukan Malaysia adalah faktor yang akan memberi impak kepada corak perlawanan pada Sabtu malam.

“Mereka ada penyokong yang luar biasa, kita tidak dapat nafikan perkara tersebut.

“Ia adalah perlawanan yang sukar, tetapi kami telah buat persiapan rapi untuk menentang Malaysia.

“Kita merasai tekanan tersebut tetapi saya akan mengekalkan fokus untuk perlawanan itu,” ujarnya kepada media pada Jumaat.

Jelasnya, Bahrain mempunyai motivasi yang tinggi dan akan cuba menjaringkan gol awal untuk melenyapkan api perjuangan Harimau Malaya dan turut melakukan beberapa analisis video bagi mengenalpasti kelemahan Malaysia.

“Kita akan buat yang terbaik untuk pasukan. Mereka ada pemain yang bagus, kita akan mengkaji semula pasukan lawan menerusi video mereka.

“Saya semakin matang dan sekarang hanya fokus kepada pasukan dan berusaha untuk setiap perlawanan, ” kata pemain Riffa FC itu.

Meskipun rekod kemenangan memihak Bahrain, Malaysia dijangkan turun dengan jentera terbaik apabila dikhabarkan pemain dalam keadaan terbaik bagi perlawanan malam esok.

Malaysia bakal turun malam esok menentang Bahrain dalam aksi kedua kumpulan E dalam aksi yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan bakal menyaksikan anak buah Kim Pan-gon layak secara merit ke pusingan seterusnya.