PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui aksi kelayakan Piala Dunia 2026 ini merupakan pertarungan paling berprestij dan penting sepanjang kariernya mengetuai badan induk itu sejak tahun 2018.

Oleh itu, Hamidin menggesa agar penyokong-penyokong bola sepak Harimau Malaya memandang serius terhadap perlawanan menentang Kyrgyztan dalam pusingan kedua aksi kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Khamis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut beliau lagi, banyak faktor utama yang perlu dilihat atas kepentingan Malaysia untuk menewaskan Kyrgyzstan yang kini berada di tangga ke-17 berbanding Malaysia di tangga ke-24 dalam kedudukan benua Asia.

Inii kerana, dua pasukan terbaik dalam kumpulan akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia sekali gus layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027, maka jelas bahawa Malaysia wajib meraih enam mata dalam kedua-dua perlawanan pusingan kedua kelayakan ini bagi menduduki tempat yang selesa untuk ke peringkat seterusnya.

“Untuk menjadi kesinambungan mengapa begitu penting buat Malaysia supaya mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia ini, hanya 18 pasukan teratas sahaja yang akan berada di pusingan ketiga dan dua pasukan terbaik dalam tiga kumpulan yang sudah dibahagikan pada peringkat ketiga nanti akan layak ke Piala Dunia 2026.

“Secara tidak langsung, jika Malaysia dapat mara ke pusingan ketiga ia telah menjadikan satu sejarah besar buat negara apabila berjaya ke pusingan terakhir sebelum ke Piala Dunia 2026 sekali gus melayakkan pasukan ke Piala Asia 2027.

“Lebih penting lagi, Kim Pan-Gon bersama anak buahnya juga mendapat kepentingan dengan meraih 10 perlawanan bertaraf dunia sejurus membuka peluang Malaysia untuk dipandang lebih tinggi di mata antarabangsa,” ujarnya ketika sesi sidang media rasmi di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya pada Isnin.

Rumusannya, daripada pertarungan dalam pusingan ketiga tadi, hanya enam pasukan yang bertuah sahaja dapat layak ke kejohanan berprestij Piala Dunia 2026 yang diadakan di tiga buah negara iaitu Canada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Dengan itu, ketegasan Hamidin mengenai perlawanan pertama menentang Kyrgyztan harus dianggap sebagai peluang terbaik untuk Harimau Malaya meletakkan pasukannya sejauh mungkin dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026.

Sementara itu, Malaysia akan berdepan dengan Korea Selatan, Jordan dan Bahrain pada pusingan akhir Piala Asia 2023 di Doha pada Januari 2024.

Ini menandakan kempen kelayakan ke Piala Dunia 2026 akan diwarnai lagi dengan tiga perlawanan kompetitif menentang musuh berkualiti tinggi di Asia.