KEHANGATAN kejonanan Piala Asia 2023 semakin dirasai para penyokong bola sepak Asia dengan kurang dari lima hari sebelum sepak mula aksi pembukaan antara Qatar dan Lebanon berlangsung di Stadium Lusail, Qatar.
Penyokong Malaysia sudah pasti mempunyai rasa teruja yang lebih selepas skuad Harimau Malaya berjaya layak ke Piala Asia secara merit selepas 42 tahun dan berharap dapat melakukan kejutan pada kejohanan bola sepak terbesar Asia kali ini.
Disamping memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada skuad kendalian Kim Pan-gon, penyokong Malaysia di Qatar yang dihubungi FLASH SUKAN juga rata-ratanya menyatakan mereka mempunyai pasukan kedua untuk disokong di Piala Asia iaitu Palestin.
Semua maklum, Palestin kita sedang bergolak dengan peperangan dan rakyat Malaysia bersatu hati menunjukkan solidariti kepada mereka dan sentiasa berdoa agar negara itu kembali bebas dari cengkaman tentera Zionis.
Pekerja bidang petroleum dan gas di Qatar, Amir Affiq mengakui selain Harimau Malaya, dia juga menyokong perjuangan pasukan Palestin yang beraksi dalam Kumpulan C bersama-sama Iran, Emiriah Arab Bersatu dan Hong Kong sebagai tanda solidariti dan jalinan persaudaraan antara kedua-dua negara.
“Dalam dilema peperangan, Palestin tetap sedia berdepan dengan saingan dalam Kumpulan C. Semangat inilah yang membuatkan kita lanjutkan sokongan kepada mereka selain Harimau Malaya selain mereka juga mempunyai skuad yang baik dan berpotensi pergi lebih jauh.
“Saya menyeru agar penyokong yang ada di sini dan di tanah air bersama menyokong skuad Palestin agar mereka lebih bersemangat dan sebagai solidariti kepada perjuangan mereka selama ini.
“Jika ditakdirkan Palestin bertemu Malaysia, rasanya kita sokong kedua-duanya. Sudah tentu kita mahu Malaysia mara, tetapi pada masa yang sama kita ingin dunia lihat kecekalan pemain Palestin berjuang dalam apa jua halangan,” katanya.
Palestin yang kini di ranking ke-93 dunia akan memulakan cabaran bertemu Iran pada 14 Januari dan perlawanan ini sudah pasti akan dinanti-nantikan oleh penyokong seluruh dunia kerana menggambarkan lambang solidariti dan kekuatan negara itu.