PERTEMBUNGAN Granada dengan Athletic Bilbao telah dibatalkan selepas peminat meninggal dunia secara mengejut di tempat duduk penonton.

Penyokong itu mengalami serangan jantung dan pernafasan di Los Carmenes dan perlawanan La Liga terhenti secara tiba-tiba.

Bilbao mendahului 1-0 selepas Inaki Williams membuka jaringan selepas hanya enam minit perlawanan.

Namun, penjaga gol pasukan lawan, Unai Simon memaklumkan pengadil tentang insiden itu hanya sembilan minit kemudian.

Ia berlaku setelah penyokong tuan rumah memberitahu Simon tentang salah seorang penyokong mereka yang kelihatan mengalami serangan jantung.

Pasukan doktor dari kedua-dua pasukan segera meninggalkan bangku mereka untuk memberi bantuan kepada pesakit itu.

Perlawanan tersebut diteruskan sementara pasukan perubatan cuba merawat penyokong itu.

Namun, perlawanan itu akhirnya dihentikan pada minit ke-18 dengan kedua-dua pasukan berada di padang selama kira-kira 22 minit.

Pengadil akhirnya membatalkan perlawanan dan pihak La Liga mengesahkan kematian penyokong itu. Liga bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran mengenai identiti penyokong tersebut.

Peminat Granada terus melaungkan nama bintang Bilbao, Simon, selepas tindakan pantasnya yang menyebabkan kakitangan perubatan dari kedua-dua pasukan dengan segera menawarkan bantuan mereka.

Tarikh dan masa untuk perlawanan disambung semula akan diumumkan tidak lama lagi.