PENGENDALI Pahang Rangers, Gerard Casas mengakui tugas berat menanti para pemainnya apabila berhadapan pendahulu Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024, Johor Darul Ta’zim di Stadium Sukpa, Kuantan pada Sabtu.

Namun jurulatih asal Sepanyol itu gembira kerana mereka akan bermain di hadapan penyokong sendiri yang pastinya akan memberikan sokongan padu dan dianggap Gerard sebagai penyokong terbaik dalam arena futsal di Malaysia.

Dia hanya fokus kepada persiapan pasukan dengan beberapa kecederaan sedikit menggangu tetapi dia yakin anak-anak buahnya akan memberikan saingan sengit kepada JDT di Sukpa.

Gerard jangkakan satu perlawanan sukar buat Pahang Rangers. 

“Kami lakukan seperti mana biasa dengan apa yang membezakan persiapan kali ini adalah lawan yang lebih sukar. Kami mempunyai beberapa masalah kecederaan yang sedikit menyukarkan tetapi ada beberapa pemain yang mungkin sempat pulih sebelum aksi ini.

“Saya bersyukur kerana kami mempunyai penyokong terbaik dalam Malaysia dan mereka pastinya akan berada di belakang pasukan untuk memberikan semangat tambahan buat para pemain beraksi dengan lebih baik,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Gerard juga tidak peduli Pahang Rangers sudah boleh melupakan peluang untuk bergelar juara sebaliknya dia hanya menumpukan persiapan pasukan dan mahu melihat peningkatan dalam skuad muda yang baharu dibentuk musim ini.

Pemain-pemain Pahang Rangers meraikan jaringan. 

“Kejuaraan liga bukanlah sasaran utama kami musim ini tetapi objektif untuk aksi Sabtu ini adalah sama iaitu ingin berikan saingan dan memberikan segala-galanya di dalam gelanggang selain memastikan skuad muda ini menjadi lebih baik pada setiap perlawanan,” jelasnya.

Gerard yang bakal meninggalkan pasukan pada akhir musim ini akan meninggalkan legasi buat pasukan Pahang Rangers yang kini menduduki tangga ketiga MPFL dengan 22 mata dan berbaki tiga perlawanan.