FOTO : Reuters

PEMINAT bola sepak Sepanyol yang melakukan misi berjalan kaki ke Qatar untuk menonton Piala Dunia bulan depan, dilaporkan hilang di Iran, di percayai ketika melalui kawasan bergolak di negara itu beberapa minggu lalu.

Kehilangan itu disahkan Kementerian Luar Sepanyol, yang menyatakan kali terakhir Santiago Sanchez dapat dihubungi pada 1 Oktober, apabila dia mengirim sekeping gambar dirinya kepada seorang rakan ketika berada di sempadan Iraq-Iran.

Difahamkan, gambar yang dikirim kepada rakannya itu turut disertakan kapsyen “Entry to Iran”.

Beberapa media Sepanyol memetik ibu bapa Sanchez di Madrid mendakwa Sanchez ditahan pihak berkuasa Iran sebagaimana dilaporkan dalam Telecinco TV.

Lelaki warga Sepanyol, Santiago Sanchez berjalan kaki di Kurdistan, Iraq ketika menuju ke Qatar. Dia menjangkakan perjalanannya itu akan tiba tepat untuk menonton saingan Piala Dunia 2022.

“Kemungkinan besar 99 peratus, dia ditahan di penjara Iran, tapi kedutaan (Sepanyol) beritahu anak perempuan saya bahawa  sebelum pihak kedutaan dibenar berjumpanya di penjara sementara menunggu kebenaran kerajaan Iran, mereka tidak boleh mendedahkannya dalam berita,” kata ibu mangsa, Celia.

Menurut Celia, pihak polis meminta ibu bapa Sanchez menyediakan rekod pergigian, barangan peribadi dibawa seperti berus gigi dan gambar tatu Santiago Sanchez, untuk dihantar kepada pihak polis antarabangsa Interpol.

Kementerian Luar Sepanyol mengesahkan Sanchez berada di Iran dan kedutaannya di Tehran digesa mencari maklumat segera berkaitan keberadaan Sanchez dan memberi bantual konsular.

“Kedutaan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Iran sejak mereka sedar kehilangan warga Sepanyol itu,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Iran ketika ini berdepan protes terbesar dalam sejarah kepimpinannya berikutan kematian wanita Kurdish Iran, Mahsa Amini, 22, pada 16 September lalu ketika berada dalam tahanan polis di Tehran kerana berpakaian tidak sesuai.