SEPAK takraw kini bakal berdepan dengan era baharu iaitu pengenalan kepada sistem ranking dunia dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa, daripada 19 hingga 26 Mei 2024.

Keputusan Persekutuan Sepaktakraw Dunia (Istaf) dalam memberi penghormatan kepada Malaysia sebagai negara pertama yang menganjurkan kejohanan dunia dan mengimplementasikan sistem ranking ini menandakan langkah penting bagi memajukan serta mengukuhkan lagi imej sukan sepaktakraw di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan: Malaysia jadi perintis Piala Dunia Sepak Takraw, perkenal sistem ranking

Perkara ini telah mendapat perhatian daripada salah seorang pencinta sukan sepaktakraw Malaysia, Jais Abdul Karim yang menzahirkan rasa gembira dan terharu terhadap kepimpinan tertinggi Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa Istaf yang terus komited dalam memacu sukan sepaktakraw semakin kedepan.

Menurutnya, sistem ranking yang diperkenal akan memanfaatkan kepelbagaian kemahiran pasukan sepaktakraw sejurus memperkenalkan struktur kompetitif yang lebih teratur serta memberikan peluang untuk mengukur prestasi negara secara lebih sistematik.

Jais juga merasakan bahawa sistem ini dijangka akan mendorong persaingan yang lebih sihat, meningkatkan kualiti perlawanan sekali gus mengekalkan daya tarikan kepada penonton sepaktakraw.

“Langkah ISTAF ini juga dapat dilihat sebagai usaha untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). Dengan adanya sistem ranking, sepak takraw bukan sahaja memasuki era profesionalisme yang lebih mendalam, tetapi juga melangkah lebih dekat ke pintu gerbang Sukan Olimpik. Sukan sepak takraw mempunyai potensi untuk menjadi satu lagi daya tarikan di Sukan Olimpik dan menyumbang kepada kepelbagaian acara sukan.

“Saya yakin pengenalan sistem ranking ini juga membuka peluang untuk mempromosikan sukan sepaktakraw di peringkat dalam negara kerana akan mencetuskan gelombang minat dalam kalangan generasi muda untuk menyertai sukan sepaktakraw.

“Walau bagaimanapun, dengan kemajuan yang selari dengan era modenisasi ini, adalah penting bagi pihak Istaf dan pihak berkepentingan untuk terus mengkaji dan memperbarui sistem ranking ini. Sambutan dan maklum balas daripada para penggiat sukan, pengurus pasukan dan peminat sukan sepak takraw perlu diambil kira untuk memastikan keadilan dan keberkesanan sistem ini,” ujar Jais.

Sementara itu, positifnya sistem ranking ini sekali gus akan memberikan dorongan kepada pasukan dan pemain untuk terus berusaha meningkatkan prestasi mereka. 

Dengan pengenalan kepada sistem ranking dunia ini juga sepaktakraw akan melangkah ke hadapan sebagai sukan yang semakin profesional dan berprestij serta Malaysia sebagai negara peneraju akan menjadi contoh inspirasi untuk memartabatkan sepaktakraw di persada dunia.