KEKALAHAN 1-4 Singapura kepada Malaysia dalam perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa jelas mengundang kekecewaan kepada penyokong setia The Lions.
Kekalahan besar itu juga menyaksikan Singapura gagal ke peringkat separuh akhir sekaligus melebarkan kemarau kemenangan apabila kali terakhir muncul juara pada edisi 2012 yang lalu dan netizen Singapura menggunakan laman sosial rasmi Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebagai tempat meluah kemarahan.
Rata-rata penyokong Singapura malu dengan persembahan yang ditunjukkan oleh barisan pemain dan ada yang mengatakan mereka tidak boleh menerima kekalahan kepada skuad Malaysia B.
Ramai juga yang mempertikaikan keputusan FAS mengambil Takayuki Nishigaya sebagai Ketua Jurulatih yang disifatkan mereka sebagai jurulatih yang tidak mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa yang menjadi antara punca Singapura beraksi buruk dalam perlawanan di Bukit Jalil.
Tidak cukup dengan itu, para penyokong Singapura juga menyelar tindakan legenda kelab, Baihakki Khaizan yang dilihat tersenyum dan gembira ketika ditangkap layar televisyen yang dianggap sebagai tidak sensitif dengan keadaan pasukan yang mengalami kekalahan.
Namun, Baihakki tampil dengan video penjelasan di laman sosial peribadinya sekaligus menamatkan spekulasi tindakannya itu dan tindakannya ini mendapat maklum balas positif daripada penyokong baik Singapura mahupun Malaysia.
Singapura kelihatan kehilangan arah ketika bertemu Malaysia ditambah dengan senarai kecederaan yang panjang menimpa beberapa pemain bintang seperti Ikhsan dan Ilhan Fandi serta Adam Swandi selain terpaksa bermain empat perlawanan dalam tempoh 11 hari ekoran jadual yang padat.
Namun begitu penyokong Singapura tetap mendesak FAS agar melakukan bedah siasat terhadap pasukan ini selepas dilihat bergelut untuk mengatasi Laos serta pasukan kedua Myanmar, Vietnam dan Malaysia.
Selain itu mereka juga mengatakan skuad Singapura kali ini adalah skuad kuda tua dengan 13 dari 23 pemain berumur 30 tahun ke atas dan kelihatan bergelut untuk mengatasi lawan terutama dari segi ketahanan fizikal dan mental.
Singapura gagal melepasi peringkat kumpulan sejak edisi 2014 dan hanya berjaya melakukannya pada edisi 2020 selepas kali terakhir muncul juara kejohanan Asia Tenggara ini pada 2012 dan sesuatu perlu dilakukan demi masa depan bola sepak Singapura.