KELAB Penyokong Terengganu (TFC) berharap pengendali Sang Penyu, Mohd. Nafuzi Zain, terus diberi kepercayaan melatih pasukan itu musim depan.

Presidennya, Mohd. Isa Che Arifin, berkata, Nafuzi telah berjaya membentuk pasukan Terengganu dengan baik sejak menggantikan Irfan Bakti Abu Salim pada 2019.

Menurut Mohd. Isa, Nafuzi juga dilihat berani mempertaruhkan pemain muda serta mengamalkan falsafah bola sepak moden yang menjadi identiti pasukan itu.

“Walaupun gagal meraih kejuaraan, Nafuzi membawa TFC ke final Piala FA dan hanya tewas kepada JDT selain turut berada dalam posisi terbaik merebut slot Piala AFC 2023.

“Pemain-pemain TFC juga mendapat tempat dalam skuad kebangsaan. Ini membuktikan keupayaan Nafuzi menggilap bakat pemain dalam pasukan ini.

“Peningkatan itu boleh dilihat dan saya fikir Nafuzi wajar dikekalkan sekurang-kurangnya setahun lagi sehingga hujung 2023,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Tambah Mohd. Isa, kelab penyokong bagaimanapun menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat sebarang keputusan berhubung isu berkenaan.

Katanya, khidmat jurulatih luar negara yang turut mengamalkan gaya bola sepak moden perlu menjadi pilihan TFC sekiranya sentuhan Nafuzi tidak lagi diperlukan pasukan itu.