SEMANGAT jitu yang terpahat dalam diri peminat-peminat bola sepak pastinya lahir tanpa sebarang paksaan dan ada yang sanggup berkorban apa jua demi kelab kegemarannya.
Salah seorang penyokong setia Perak FC, Srajudin Abd Latiff yang telah berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bagi menonton aksi perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 berkongsi pengalamannya hadir ke stadium moden itu.
Menurut Srajudin, menang atau kalah itu adalah adat permainan tetapi semangat yang tinggi untuk melihat pasukan kegemaran beraksi dengan baik sangatlah penting bagi seseorang peminat bola sepak.
Walaupun peminat yang berusia 48 tahun itu tidak kesampaian melihat keajaiban terhasil daripada pasukan kesayangannya, Perak FC ketika bertandang ke SSI namun pengalaman yang dikecapi juga amat bermakna apabila dapat menerokai stadium penuh gah pasukan Johor Darul Ta’zim.
“Sejujurnya fasiliti yang disediakan buat para penyokong di SSI sangat terbaik dan saya juga teruja melihat suasana kemeriahan yang rasanya peminat negeri lain juga ingin merasa masuk ke SSI ini.
“Para panyokong tuan rumah ini juga sangat mesra ‘friendly’ tapi mungkin ada segelintir yang kadang-kadang buat hal juga.
“Pandangan saya pasti setiap negeri atau kelab mengimpikan stadium tersendiri seperti SSI, tetapi kita kena ukur baju di badan sendiri dan jika boleh pun mungkin mengambil masa,” ujarnya kepada Flash Sukan.
Lahir di Johor, namun Srajudin mengakui jiwa bola sepaknya bersama Perak FC dan turut memuji struktur dan kemudahan stadium yang dibangunkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim ini.
Lebik menarik, Srajudin menjelaskan bahawa dia tidak mengikuti sebarang kelab penyokong dan lebih memilih untuk bergerak bebas dan menjadi peminat biasa.
Hal demikian tidak menghalang Srajudin untuk tetap melintasi segenap pelusuk negeri bagi menonton aksi perlawanan kelabnya, Perak FC.