SELANGOR FC baru-baru ini mengumumkan bahawa Muhammad Faisal Abdul Halim telah dinobat sebagai ‘Best Signing of The Season’ selepas menonjolkan aksi cemerlang bersama kelab tersebut..

Keputusan itu telah dimuat naik di laman rasmi Instagram Selangor FC sendiri dengan menyatakan bahawa Faisal merupakan pilihan peminat-peminat Gergasi Merah untuk mendahului pemain-pemain lain dalam anugerah tersebut.

Selangor sebelum ini telah membuka peluang buat para penyokong untuk menentukan sendiri pilihan pemenang bagi anugerah tersebut sebelum undian rasmi ditutup.

Faisal yang memegang karakter penting sebagai penyerang utama skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu berjaya mencatat rekod 12 jaringan serta 8 ‘assists’ dalam kempen Liga Super 2023 dan kejayaan tersebut telah memacu pasukan Selangor FC ke saingan Liga Juara-juara Asia (ACL2) untuk musim 2024/2025.

Jelas boleh dilihat, kelab di bawah pimpinan Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj selaku presiden kelab selama lima tahun ini telah menghasilkan satu impak positif sekali gus memberi peningkatan dari musim ke musim.

Kehadiran bekas pemain dari Terengganu itu juga serba sedikit menjadi pemangkin buat kecemerlangan bola sepak Selangor FC dan dia sememangnya layak untuk mendapat anugerah Pembelian Terbaik Musim 2023.