PERASAAN bercampur baur dan berbelah bahagi melanda penyokong Ulsan HD apabila juara liga Republik Korea itu mengumumkan bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon sebagai pengendali baharu kelab.
Pan-gon diumumkan sebagai pengendali ke-12 kelab yang berpangkalan di Ulsan menggantikan Hong Myung-bo menerusi kenyataan di media sosial rasmi kelab pada Ahad dan sumber FLASH SUKAN di Seoul berkongsi reaksi penyokong berkaitan berita ini.
“Penyokong biasa kelab dilihat gembira dengan lantikan ini kerana mereka melihat kejayaan yang dilakukan Pan-gon ketika dia menjawat jawatan naib presiden Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) dan yakin pengendali asal Jinju itu mampu meneruskan kejayaan sedia ada.
“Bagaimanapun perasaan bimbang dirasai oleh penyokong tegar kelab kerana mereka bimbang Pan-gon tidak mempunyai pengalaman di Liga 1 Korea yang kompetitif itu,” jelasnya.
Namun perkara utama yang dibimbangkan oleh para penyokong adalah bagaimana Pan-gon mahu mengawal keharmonian bilik persalinan kerana pemain Ulsan terkenal dengan sikap besar kepala dan berlagak.
“Ulsan sebelum ini dibimbing Hong Myung-bo yang dikenali sebagai legenda negara selepas mengetuai Republik Korea untuk mencapai tempat keempat Piala Dunia 2002 yang berlangsung di Korea dan Jepun.
“Atas tiket ini, para pemain lebih hormat kepada Myung-bo dan mendengar arahan yang diberikan tetapi layanan yang sama mungkin tidak akan diterima oleh Pan-gon dan itu adalah cabaran terbesar buatnya pada peringkat awal ini,” ujarnya.
Kim Pan-gon akan diperkenalkan kepada para penyokong menerusi sesi sidang media pada 5 Ogos 2024 dengan Pan-gon akan membawa Ulsan HD beraksi dalam empat pertandingan – Liga 1 Korea, Piala FA, Liga Juara-Juara AFC Elite dan Piala Dunia Kelab FIFA.