SELANGOR FC menebus kekecewaan tersingkir dari Piala Malaysia kepada Terengganu FC (TFC) dengan mengalahkan lawan sama 4-0 kali ini dalam aksi Liga Super di gelanggang lawan pada Jumaat.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe mengukuhkan kedudukan di tempat kedua liga mengumpul 52 mata manakala TFC kekal di tangga keenam.
Awal babak pertama menyaksikan TFC menguji kubu lawan melalui sepakan bebas Habib Haroon minit ketiga sebelum jaringan Faisal Abdul Halim untuk Selangor minit kelapan dibatalkan kerana ‘offside’.
TFC sekali lagi mencemaskan Sam Samorville gawang skuad The Red Giant namun percubaan lencong Nurillo Tukhtasinov minit ke-21 dari sebelah kanan ditepis keluar.
Selangor sebaliknya membuka tirai jaringan minit ke-26 menerusi Jose Orozco yang tidak dikawal melakukan rembatan deras dengan kaki kirinya di depan kotak penalti untuk gol pertama.
Pemain kelahiran Venezuela itu kemudian melebarkan kelebihan apabila menyudahkan bola muntah berpunca percubaan Mukhairi Ajmal Mahadi yang gagal ditangkap kemas Rahadiazli Rahalim minit ke-41.
Selepas rehat, skuad The Red Giant makin selesa setelah Faisal meledak gol ketika pada minit ke-52 hasil tolakan mudah menewaskan Rahadiazli dari dalam kotak penalti.
Pemain gantian Selangor, Aliff Izwan Yuslan, kemudian melengkapkan kemenangan 4-0 minit ke-81 selepas menghukum kegagalan Liridon Krasniqi mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.