PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, menjangkakan perlawanan sengit bertemu KL City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Menurut jurulatih muda itu, status KL City FC selaku finalis Piala AFC membuatkan skuad kendaliannya perlu berwaspada dengan kemampuan skuad kendalian Bojan Hodak itu.

Nafuzi berkata, kedua-dua pasukan turun dengan prestasi terbaik sekaligus menjanjikan 90 minit yang penting buat TFC yang mahu mengekalkan kedudukan tiga teratas Liga Super.

“Kami bertemu pasukan yang sedang berada pada kemuncak prestasi dan momentum yang baik setelah layak ke final Piala AFC.

“Barisan pertahanan mereka juga agak baik terutama kelibat Giancarlo Gallifuoco dan penjaga gol, Kevin Ray Mendoza yang sudah tentu menjadi taruhan KL City FC.

“TFC akan memburu gol awal seperti dilakukan ketika mengalahkan Melaka United walaupun sedar bukan tugas mudah berdepan KL City FC,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu Nafuzi turut menaruh sandaran kepada Kipre Tchetche yang membawa bersama sentuhan jaringan iaitu sembilan gol dalam lima perlawanan terakhir.