JURULATIH Penang FC, Chong Yee Fatt menyifatkan pasukan Kuala Lumpur City FC adalah pasukan yang lebih baik berbanding pasukan kendaliannya malam ini.

Biarpun anak buahnya berdepan dengan The City Boys yang hanya bermain dengan sepuluh pemain, namun Yee Fatt tidak memandang perkara itu sebagai sesuatu yang mudah kerana pasukan Kuala Lumpur City FC merupakan sebuah pasukan berpengalaman.

“Kuala Lumpur adalah pasukan yang lebih baik. Mereka adalah pakar Piala Malaysia. Kehadiran kita ke sini adalah untuk bermain dan menang. Tanpa mengira keputusan, kita cuba memberi persembahan terbaik.

“Biarpun mereka bermain dengan 10 orang, ia tidak semudah yang disangka kerana mereka adalah sebuah pasukan yang memiliki pemain berpengalaman. Penyudah kita agak tumpul, ia menyukarkan kami,” ujarnya selepas tamat aksi Piala Malaysia Pusingan 16 (kedua) antara Kuala Lumpur City FC berdepan Penang FC di Stadium KLFA Cheras pada Jumaat.

Kembalinya Sony Saad ke dalam pasukan, Yee Fatt berharap pasukan kendaliannya mampu mempamerkan persembahan lebih baik selepas ini.

Yee Fatt turut ingin menghabiskan sisa perlawanan Liga Super dengan rentak cemerlang setidak-tidaknya memperoleh keputusan membanggakan untuk keputusan mereka.

“Sony bermain dengan baik. Kita kehilangan khidmatnya dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Kita ada beberapa perlawanan yang lebih penting selepas ini.

“Saya harap Sony akan bermain dengan lebih baik selepas ini. Kita harap dia dapat membantu pasukan dapat keputusan yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Melalui keputusan malam ini, Yee Fatt menegaskan dia akan lebih positif dan berharap pasukannya akan lebih mempamerkan aksi konsisten sepanjang perlawanan akan datang.

“Selepas perlawanan malam ini, saya lebih positif dan lebih mempunyai harapan kerana persembahan kita malam ini dibekalkan semangat yang hebat. Saya berpuas hati dengan apa yang mereka pamerkan malam ini,”jelasnya.