PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola akan mencari jalan untuk terus memastikan pasukannya mencatat kemenangan walaupun tanpa kehadiran pemain tengah utama mereka, Rodrigo, yang kini mengalami kecederaan.

Pemain Sepanyol itu terpaksa meninggalkan padang akibat kecederaan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal pada Ahad lalu.

Pep, ketika ditemui selepas kemenangan 2-1 dalam perlawanan Carabao Cup menentang Watford pada awal pagi Selasa, sempat berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaan pemain tengahnya itu.

Rodrigo mengalami kecederaan semasa menentang Arsenal. FOTO | MANCHESTER CITY.

“Dia mungkin akan berehat untuk tempoh yang panjang, tetapi boleh jadi ia mungkin lebih pendek daripada yang kita jangkakan,” kata Pep yang dipetik daripada website rasmi Manchester City

Disamping itu, dia menegaskan bahawa buat sementara waktu ini mereka tidak dapat memberikan jawapan yang muktamad kerana pihaknya masih lagi menunggu keputusan rasmi daripada doktor.

“Buat masa ini saya tidak boleh memberikan jawapan kerana kami masih menunggu panggilan daripada doktor mengenai keadaan sebenar dan jenis pembedahan yang perlu dijalankan,” katanya lagi.

 

Pep juga menekankan bahawa tidak kira berapa lama Rodrigo akan berehat, dan yakin pasukannya masih mampu bersaing untuk kejuaraan tanpa pemain tengah bertaraf dunia itu.

“Kita tidak mahu ini berlaku tetapi saya yakin kita akan tetap mempunyai musim yang baik.

“Saya percaya kepada pemain-pemain saya dan saya perlu mencari penyelesaian untuk ini.

“Sudah tentu ia merupakan tamparan hebat buat kami, tetapi dalam bola sepak, perkara seperti ini pasti terjadi,” tegasnya.

Image

Pep turut memberitahu bahawa dia akan melakukan segala yang terbaik untuk kekal memberi saingan kepada lawan-lawan mereka.

“Tanggungjawab saya adalah mencari jalan supaya pasukan ini kekal kompetitif dan terus memberikan masalah kepada lawan,” tegasnya lagi.

Rodrigo telah menjadi pemain utama bagi semua kejayaan Pep dalam beberapa musim kebelakangan ini, dengan bermain sekurang-kurangnya 50 perlawanan dalam empat daripada lima musim penuhnya bersama City.

Kehebatan City yang meraih 11 kejuaraan utama dalam tempoh tersebut telah mengukuhkan kedudukan pemain berusia 28 tahun itu sebagai salah seorang pemain terbaik di dunia.