PERAK FC ambil ‘perhatian’ khusus ancaman bahaya selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan kedudukan dua tercorot Liga Super musim ini boleh tersingkir ke saingan Liga M3.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, penyingkiran adalah kebimbangan utama bagi pihak pengurusan walaupun belum ada keputusan rasmi berhubung perkara itu.

“Dalam semangat pertandingan, Perak FC menyokong penuh mekanisme penyingkiran seperti yang dinyatakan. Perak FC juga telah melalui dan mengharungi pelbagai cabaran dari awal pembabitan sehingga kini dan harus mengakui bahawa kami belum cukup berpengalaman dalam pengurusan bola sepak.

“Walau bagaimanapun, yakinlah bahawa Ahli Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Eksekutif dan Pengurusan Perak FC yang terdiri daripada golongan profesional serta berpengalaman luas dalam urusan perniagaan sudah semestiya cepat mengadaptasi pengurusan industri bola sepak yang berkembang sejajar dengan era modenisasi kini.

“Selepas beberapa perubahan yang dilakukan pada kakitangan kejurulatihan, pemain dan pegawai perubatan serta menstruktur semula strategi pada pertengahan musim ini, Perak FC kini adalah pasukan yang lengkap dan bermotivasi untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super,” katanya dalam kenyataan rasmi kelab pada Khamis.

Selain The Bos Gaurus, Kelantan FC, Kelantan United FC dan Kuching City turut berdepan bahaya boleh tersingkir ke saingan Liga M3.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam dalam media tempatan mendedahkan dua pasukan tercorot Liga Super musim ini boleh tersingkir ke saingan Liga M3.

Ini menyaksikan dua pasukan dari Liga M3 berpeluang beraksi di Liga Super musim 2024 namun Stuart menegaskan perkara itu tertakluk kepada kelulusan pelesenan kelab pasukan terbabit.