PERAK FC bakal terbang ke Jerman bagi merasai suasana latihan di Eropah untuk saingan pra musim yang akan diadakan sebelum sepak mula Liga Malaysia 2023.
Perkembangan ini didedahkan Pengerusi XOX, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi semasa dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani MOU diantara Perak Football Club dan VfL Wolfsburg di Ipoh pada Rabu.
Menurut Abdul Azim, kerjasama dengan kelab yang beraksi di Bundesliga itu dilihat memberikan impak positif buat kedua-dua pasukan.
“Soal untuk dapatkan khidmat pemain mereka bersama skuad kita pada musim depan saya rasa tidak. Tetapi ia mungkin pertukaran pemain pra musim. Pemain boleh pergi ke sana dapatkan pengalaman.
“Jurulatih sana pula boleh datang sini curah ilmu,” kata Abdul Azim.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif sementara Perak FC, Bobie Farid Shamsudin dan Naib Presiden Kanan Wolfsburg, Andreas Kruse dan wakil media.
Jeng Jeng..
This is Ipoh #perakfc pic.twitter.com/cOxEstXllP
— Flash Sukan (@FlashSukan) October 12, 2022
Sementara itu, ketika ditanya mengapa memilih Perak sebagai destinasi terbaharu kerjasama, ini jawapan Andreas.
“Perak pasukan kelab tradisional bercita-cita tinggi yang punyai sejarah yang tersendiri. Tapi kami juga ingin belajar apa yang terdapat di sini. Ia melibatkan satu kerjasama yang panjang,” ujarnya memberitahu barisan kejurulatihan Wolfsburg juga akan dibawa ke Perak untuk menurunkan ilmu kepada para pemain berkaitan kaedah latihan bola sepak Eropah.
Sementara itu, MOU tadi menekankan kerjasama sehingga penghujung tahun hadapan merangkumi pelbagai program pembangunan belia, perpindahan teknologi sistem kerja dan penjualan cenderahati rasmi pasukan.
Malam ini, berlangsung perlawanan penghargaan untuk penyokong Seladang yang akan menentang PIB FC di Stadium Perak.
Manakala, aksi persahabatan seterusnya melayan kunjungan Kelantan United FC di Manjung pada Sabtu.