PERAK FC melakukan kejutan apabila menewaskan juara Liga Singapura, Albirex Niigata 3-1 di laman sendiri dalam satu aksi perlawanan persahabatan semalam.

Pasukan Perak membariskan kesebelasan utama yang berbeza kali ini berbanding perlawanan Geylang International FC apabila Yusri Che Lah ingin memberi peluang kepada pemain lain yang tidak bermain sebelum ini.

Skuad kendalian Yusri Che Lah bermula baik di separuh masa pertama apabila mendahului perlawanan menerusi jaringan pemain import Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov seawal minit ke-6.

Pemain-pemain Perak meraikan gol pertama hasil daripada Adilet Kanybekov. (Sumber Gambar: FB Perak FC)

Adilet menjaringkan gol itu hasil satu percubaan dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol pasukan Singapura itu.

Jaringan pemain import Kyrgyzstan memastikan pasukan The Bos Gaurus mendahului perlawanan di separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Albirex Niigata berjaya mendapat gol penyamaan sejurus selepas rehat apabila Koki Kawachi menjaringkan gol pada minit ke-46.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan dari Ipoh menggandakan usaha dan hasilnya berjaya menjaringkan gol kedua apabila Adli Ahamad kembali meletakkan Perak dihadapan pada minit ke-54.

Haziq Nadzli sekali lagi mempamerkan aksi yang cemerlang bersama pasukan The Bos Gaurus. (Sumber Gambar: FB Perak FC)

Luka Milunovic menutup permainan dengan jaringan ketiga hasil sepakan penalti pada minit ke-73 sekali gus memenangi perlawanan dengan jaringan 3-1.

Dua aksi persahabatan Perak menentang pasukan dari Singapura menyaksikan pasukan Seladang mencatat kemenangan bersih di kedua-dua perlawanan itu.

Perak akan meneruskan pramusim mereka dengan mengadakan perlawanan persahabatan bersama seteru utara mereka Penang FC, pada Jumaat.