FOTO : SRI PAHANG FC
SELEPAS berjaya menumbangkan Kuching City FC di laman sendiri, Perak FC kini dilihat lebih bernafsu memburu kemenangan seterusnya.
Dua jaringan daripada pemain import Korea Selatan, Seo Seonung menghampakan hajat pelawat dalam kunjungan pertama ke Ipoh selepas dinaikkan pangkat ke liga utama.
Seo Seonung turut dipilih sebagai Man Of The Match untuk perlawanan Liga Super menentang Kuching City tempoh hari
Pertembungan di laman sendiri juga mahu digunakan sebaik mungkin Hadi Fayyadh Abdul Razak dan rakan-rakan mendapatkan tiga mata lagi untuk terus mendaki kedudukan terbaik dalam carta liga.
The Bos Gaurus bakal menanti kunjungan Sri Pahang FC pada Khamis bagi perlawanan kelima Liga Super 2023.
ARTIKEL BERKAITAN : Piala FA 2023: Skuad Teong Kim tersingkir di saat akhir
Ia mungkin menjadi medan membalas dendam disingkirkan Pahang semasa aksi pusingan pertama di Stadium Perak pada 8 Mac lepas.
Ketika ini para pemain pastinya fokus terhadap pertemuan dengan Pahang yang disifatkan sebagai tugas berat menanti mereka.
Menurut Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, kemenangan yang dilakar akan meniup api semangat untuk para pemain beraksi lebih gigih di padang serta penyokong yang semakin bertambah.
“Kita berjumpa lagi Khamis ini pada perlawanan menentang Sri Pahang FC dan kita harap mampu membalas semula kekalahan tipis dengan skuad Tok Gajah pada aksi Piala FA minggu lalu,” katanya dalam kenyataan rasmi kelab.
Selain reputasi skuad lawan itu yang berpengalaman, anak buah Datuk Lim Teong Kim harus waspada jerat dipasang Tok Gajah kerana antara pasukan yang belum pernah kalah mengalami sebarang kekalahan liga setakat ini.
Bagaimanapun, ketiadaan Lucas Silva yang dihimpit kecederaan nyata merencatkan serangan Tok Gajah dan memaksa Kpah Sherman diletakkan sebagai nadi utama pasukan untuk memberikan jaringan kepada pasukan.
Selain Sherman, Stefano Brundo dan Azam Azih merupakan pemain ligat Pahang yang sentiasa menghadirkan masalah kepada benteng pertahanan lawan dan ianya harus diperhatikan betul-betul pemain Perak jika tidak mahu gigit jari buat kali kedua dalam tempoh seminggu.
Sebagai rekod, skuad Fandi Ahmad membuka kempen musim 2023 dengan seri menentang Negeri Sembilan FC sebelum membelasah Kelantan FC 4-1, kemudian seri bertemu Selangor FC serta Sabah FC dan melakar kebangkitan mengatasi Perak di pusingan pertama Piala FA.
Pahang kini berada di tangga kelima dengan mengutip enam mata.