PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah berbangga dengan usaha berpasukan yang ditunjukkan anak-anak buahnya yang berjaya bangkit sebanyak dua kali untuk mengikat Sabah FC 2-2 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Dua jaringan daripada Luciano Guaycochea dan Wan Zack Haikal pada setiap babak menyaksikan The Bos Gaurus bangkit sekaligus membawa pulang kelebihan dua gol ke Ipoh menjelang aksi timbal balik pada 25 September nanti.

“Syukur dan gembira dengan keputusan ini tetapi kita masih ada perjuangan 90 minit lagi. Seperti saya katakan, Sabah adalah pasukan yang kuat dan sememangnya kami bernasib baik dapat dua jaringan.

“Kredit kepada semua pemain dan kami akan lakukan lebih baik lagi pada perlawanan timbal balik dan harap pemain lebih bersedia kerana dua jaringan awal itu tidak sepatutnya berlaku tetapi mereka berjaya bangkit.

“Yang pasti saya ucapkan tahniah atas usaha gigih semua pemain yang berjaya memberikan dua gol buat kami untuk dibawa pulang ke Ipoh,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Yusri turut mengakui bahawa kesilapan melepaskan dua gol pada setiap babak bukanlah kerana kesilapan pemain tetapi kekurangan pengalaman ketika bertemu pasukan yang lebih kuat menjadi punca utama masalah ini.

“Saya akui kesilapan yang dilakukan pada dua gol awal itu bukan kerana pemain tidak fokus tetapi kekurangan pengalaman dan ini perlu diperbaiki kerana kita bertemu skuad yang baik yang mempunyai barisan pemain sama ada kesebelasan utama mahupun pemain simpanan berbanding kami yang hanya mempunyai 11 pemain yang mampu mengisi kesebelasan utama,” tambahnya.

Darren Lok dan Ramon Machado memberikan kelebihan awal buat Sabah namun pemain Perak menunjukkan karektor untuk menang dengan tidak berputus asa dan hasilnya dua gol berjaya dijaringkan untuk dibawa pulang ke Ipoh.