PERAK FC mendapat tonik baru menjelang baki saingan Liga Premier selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Korea Christian College dalam aksi persahabatan di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad.
Jaringan tunggal Syamim Yahya m-65 cukup menceriakan penyokong The Bos Gaurus (TBG) yang hadir memberikan sokongan padu demi melihat kebangkitan skuad itu musim ini.
“Alhamdulillah dan tahniah untuk kemenangan malam ini. Tapi dari permainan tadi nampak banyak lagi nak kena baiki dari segi hantaran, kreativiti dan decision making kena lebih pantas.
“Tu aje le pendapat teman yang tak seberapa dari game tadi. Apapun, well done,” ujar penyokong, Amirul Hilmi dalam Facebook Perak Football Club.
Perlawanan itu menyaksikan kelibat pemain senior seperti Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal Wan Noor diturunkan beraksi dengan pemain muda untuk membentuk persefahaman selepas FIFA menarik semula larangan perpindahan pemain.
Namun begitu, penyokong menilai masih banyak lagi perkara diperbaiki Yusri Che Lah jika mahu mengeluarkan Perak FC keluar dari zon bawahan yang kini gagal mengutip sebarang mata.
“Bahagian tengah dan penyudah perlu polish lagi. Pemain terlalu lama pegang bola, peram sampai jadi jeruk…nayaa,” kata Misbahulmunir Shafiei.
Bagaimanapun, hajat mereka menantikan kelincahan bakal penggempur baharu dari Republik Croatia, Stipe Plazibat belum kesampaian apabila tidak beraksi sepanjang 90 minit permainan.
Perak FC akan bertemu Kelantan United pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Sabtu ini diikuti menentang PDRM FC (3 Julai) sebelum menjadi tuan rumah melayani kunjungan Terengganu FC II, 16 Julai depan.