PERAK FC melantik Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih bagi musim 2023.

Teong Kim menandatangani kontrak dua tahun bersama The Bos Gaurus dengan pilihan memperbaharui kontrak selama setahun lagi.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Mohd Zabidi berkata, sudah tiba masanya Perak menyusun semula pasukan selepas kekalahan berturut-turut tiga aksi terakhir Liga Premier.

“Perak FC terpaksa menjalani tempoh peralihan, dan kami kini telah menyelesaikan semua masalah yang timbul. Tiada lagi alasan untuk musim depan kerana kami mempunyai masa yang cukup dan jurulatih terkemuka yang telah ditambah dalam senarai kami.

“Matlamat utama kami ialah menstabilkan kelab, untuk mengekalkan status kompetitif kami dengan pengambilan skuad baharu.

“Pandangan Lim dalam pengurusan akar umbi dan pengendalian pemain muda sangat penting kepada Perak FC dalam proses membina semula pasukan mampan yang boleh bersaing untuk merebut kejuaraan,” kata Azim di pejabt XOX, Menara Lien Hoe, Petaling Jaya pada Selasa.

Sementara itu, Teong Kim juga ada menyatakan bahawa dia ingin membantu membawa perubahan struktur kepada cara kelab bola sepak dikendalikan di Malaysia.

Dalam pada itu, Lembaga Pengarah Perak FC juga mengucapkan terima kasih kepada ketua jurulatih semasa Yusri Che Lah atas segala usaha dan kerja keras beliau sepanjang berkhidmat dengan pasukan.

Yusri akan diberi peranan baru untuk membangunkan skuad B-23 musim depan apabila Teong Kim mengambil alih peranan baharunya sejurus selepas perlawanan dengan Kuching City FC di Stadium Perak pada 17 September 2022.

Teong Kim mempunyai pengalaman melatih selama 12 tahun dengan juara Bundesliga 10 kali, pasukan Bayern Munich B-19 dan membimbing pemain top seperti Thomas Muller, David Alaba, Toni Kroos dan Emre Can.

Pengalaman kelab terdahulu adalah berkhidmat di kelab Itali, Bologna FC.

Di peringkat tempatan, dia pernah memegang jawatan Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara pada 2013 dan kemudian pada 2016, dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari.