SIAPA sangka kelab berusia lebih 100 tahun yang sepatutnya memiliki keupayaan survival yang lebih matang dalam industri bola sepak domestik kini berada di ambang retak seribu menanti.
Inilah realiti yang berlaku kepada Perak FC yang terpaksa meneruskan cabaran besar dengan meneruskan aksi Liga Premier tanpa sebarang gaji dan kekurangan pemain di mana mereka hanya memiliki empat pemain simpanan termasuk dua daripadanya itu adalah penjaga gol.
Daripada rekod tidak pernah turun ke divisyen kedua Liga Malaysia sejak 2021 sehingga menjadi juara Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah, majoriti penyokong-penyokong Perak FC masih lagi bertongkatkan dagu mengenangkan senario yang dihadapi pasukan kesayangan mereka ini.
Namun sudah pasti barisan kejurulatihan dan pemain-pemain adalah kelompok paling dekat yang merasai kesukaran ini dalam karier mereka apatah lagi persiapan mereka untuk menyambut perayaan Aidilfitri pada bulan depan bagaikan mendung di siang hari.
Ikuti temubual FlashSukan bersama ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah yang berkongsi detik sukar tetapi dalam masa yang sama sentiasa memberikan semangat kepada pemain-pemain untuk meneruskan perjuangan dalam kempen Liga Malaysia 2022.
FlashSukan: Apakah yang bermain di fikiran anda sebelum dan selepas tidur pada setiap hari selepas melihat pelbagai kemelut berlaku di dalam Perak FC pada musim ini?
Yusri Che Lah: Apa yang saya fikirkan sebelum dan selepas bangun daripada tidur hanyalah menanti matahari itu menyinarlah saya dan pasukan saya dengan satu harapan supaya kelab ini dapat dibangunkan kembali dengan lebih baik.
Sudah tentu apa yang berlaku sekarang dengan menyaksikan polemik peralihan Perak FC, itulah sahaja harapan yang berlegar di dalam fikiran saya.
Ini kerana saya berpendapat kebajikan pemain-pemain ini masih berada di bawah tanggungjawab saya.
FlashSukan: Bagaimanakah situasi anda berdepan dengan pemain pada setiap hari?
Yusri Che Lah: Bila pergi ke stadium dan berhadapan wajah setiap pemain, saya bagaikan sudah kehabisan kata-kata untuk berbicara dengan pemain dalam setiap kali sesi latihan.
Ini kerana setiap hari pemain akan bertanyakan mengenai perkembangan semasa kelab. Satu perkara yang tidak akan saya buat adalah menipu pemain-pemain dengan berkongsi maklumat tidak pasti tentang perkara sebenar.
Walaubagaimanapun saya tetap berbangga dengan pemain-pemain kerana tiada satu pemain pun yang terlepas sesi latihan atau datang lambat atau berlatih ala kadar dan mereka memberikan komited 100 peratus biarpun tidak meraih gaji.
FlashSukan: Apakah sumbangan pemain-pemain yang tidak dilihat oleh penyokong tetapi mahu dikongsikan kepada peminat sepanjang kemelut melanda dalam Perak FC?
Yusri Che Lah: Ketika berada di stadium dalam perlawanan, pemain-pemain yang tak pernah berdaftar dengan Perak FC pada musim ini antaranya bekas tonggak kebangsaan Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Ahmad Syamim Yahya tetapi tidak pernah sesekali gagal untuk berada berdekatan dengan bilik persalinan, sambut pemain ke dalam bilik persalinan dan sampai habis perlawanan.
Inilah semangat motivasi yang diberikan kepada barisan pemain-pemain Perak FC dan mereka memberikan sokongan semangat kepada pemain-pemain yang kebanyakan dinaikkan daripada pasukan Piala Presiden berbekalkan status pemain senior mereka.
Apa yang pasti, saya sangat terharu kerana kelima-lima pemain ini sentiasa ada untuk membantu daripada segi motivasi demi semangat cintakan bola sepak.
FlashSukan: Apakah harapan anda selepas berdepan dengan detik-detik sukar ini?
Yusri Che Lah: Harapan saya adalah mahu melihat Perak FC dapat menamatkan kemelut ini sebaik tamat tempoh dengan Malaysian Football League (MFL) nanti.
Kadang-kadang nasib Perak FC ini boleh diibaratkan dengan empat tajuk filem Allahyarham Tan Sri Jin Shamsudin iaitu Menanti Hari Esok (1977), Tiada Lagi Esok Bagimu (1978), Esok Masih ada (1979) dan Esok Untuk Siapa (1982)
Satu lagi, saya juga mahu memberikan nasihat kepada pengurusan lama jika tidak mampu, jual kepada pemilik baharu yang layak.
Saya pasti kesemua penyokong khususnya peminat Perak FC mahu melihat nasib kelab ini berada dalam keadaan lebih baik, bukannya berlaku seperti senario sekarang