HUKUMAN pemotongan enam mata ke atas Perak FC berkuatkuasa serta merta bagi saingan Liga Premier 2022.
Badan bebas, First Instance Body (FIB) hari ini memutuskan susulan kegagalan Perak FC yang masih tidak menjelaskan pembayaran baki tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan Reserve Team berdasarkan Akuan Berkanun (15 Disember 2021) bagi semua tunggakan setakat November 2021.
Selain itu pihak pengurusan Perak FC belum membuat pembayaran atau persetujuan penyelesaian bersama untuk penangguhan pembayaran gaji tertunggak pemain dan pegawai Perak FC tahun 2022.
Sheikh Mohd Nasir yang mempengerusikan Mesyuarat FIB Pelesenan Kelab MFL berkata, Perak FC masih gagal melunaskan baki tunggakan gaji pada 14 April 2022 meskipun kelab Liga Premier itu sudah dikenakan hukuman pertama pemotongan tiga mata pada 1 April 2022 selepas gagal berbuat demikian pada 31 Mac 2022.
“Mesyuarat FIB memutuskan melaksanakan hukuman pemotongan enam mata bagi saingan Liga Premier 2022 susulan kegagalan Perak FC membuat pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai pada tarikh akhir pada Khamis.
“Keputusan ini juga mengambil kira kegagalan Perak FC yang tidak mengemukakan bukti bayaran ataupun persetujuan penyelesaian bersama untuk penangguhan pembayaran gaji tertunggak.
“Jika dalam tempoh tujuh hari dari tarikh hukuman kedua dibuat dan bukti bayaran penuh ataupun persetujuan penyelesaian bersama masih tidak diserahkan kepada MFL pada atau sebelum 21 April 2022, maka pada 22 April 2022, perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa FIB dan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
“Sehingga kini, FIB belum menerima sebarang dokumentasi daripada Perak FC untuk meyakinkan FIB mengenai kemampuan Perak FC menyelesaikan tunggakan gaji 2021 dan 2022 serta kedudukan kewangan kelab dalam mengharungi baki saingan liga bagi musim 2022,” katanya.