FOTO : PERAK FC

PENGERUSI Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi memohon maaf kepada pengamal media termasuk Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) berhubung kejadian yang tidak diingini melibatkan ketua jurulatihnya, Datuk Lim Teong Kim semasa sidang media selepas perlawanan Perak FC menentang Johor Darul Ta’zim pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan yang dilakukan dan mengambil iktibar terhadap insiden yang telah mengundang pelbagai reaksi di media sosial ini.

“Kami ingin memberi jaminan kepada semua pengamal media bahawa Kelab Bola Sepak Perak amat menyokong peranan yang dilakukan rakan media dan memahami kekecewaan yang dialami dengan kejadian yang telah berlaku.

 

“Pihak pengurusan Perak FC ingin menegaskan bahawa siasatan dalaman terhadap kejadian yang telah tular ini mengikut dasar serta polisi kelab dan jika perlu, tindakan tatatertib akan diambil dalam masa terdekat.

“Kami mengambil perhatian bahawa semasa perlawanan berintensiti tinggi, emosi pastinya memuncak dan kami berharap ini adalah insiden terpencil, tidak akan berulang lagi di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada masa sama, beliau memohon kepada rakan-rakan media untuk terus membuat liputan membabitkan Perak FC seperti yang telah dilakukan selama ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN : “5-0 adalah kekalahan yang besar dan sukar ditelan” – Datuk Lim Teong Kim