PERAK FC mengesahkan melepaskan 15 pemain termasuk seorang pemain import dalam usaha membina semula pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2023.

Selepas bergelut pada awal tahun sebelum diselamatkan dengan pembelian pasukan oleh sebuah syarikat telekomunikasi, Perak berjaya mengelak penyingkiran selepas pengelola liga Malaysia Football League (MFL) melakukan pengstrukturan semula liga untuk musim 2023.

Perak FC melepaskan penjaga 14 pemain tempatan dan Steve Plazibat yang menyertai pasukan pada jendela perpindahan kedua dan kini lebih fokus kepada pemain-pemain muda yang bakal membawa cabaran skuad The Bos Gaurus ini.

 

Perkara ini disahkan menerusi hantaran di media sosial rasmi kelab yang mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya buat semua pemain yang telah dilepaskan.

“Jutaan terima kasih diucapkan. Kami amat menghargai kesungguhan anda sepanjang berada bersama-sama di Perak FC. Selamat maju jaya,” tulis kenyataan itu.

Perak yang kini dibawah kendalian Lim Teong Kim sudah pasti mempunyai perancangannya sendiri tentang bagaimana pasukan ini akan diuruskan serta siapakan senarai pemain yang sesuai dengan taktikal yang bakal diserapkan.

Sebelum ini Perak FC sudah pun mengumumkan 11 pemain baharu yang menyertai pasukan dengan gabungan nama besar dan muka baharu yang dijangka membentuk satu skuad yang mantap untuk memberikan saingan.