INSIDEN pergaduhan segelintir penyokong kedua-dua pasukan dikenali sebagai ‘casual’ yang mencemari perlawanan Liga Super antara The Bos Gaurus dan Selangor FC di Stadium Perak pada Sabtu segera mendapat perhatian khusus pengurusan Perak FC.
Jelas kenyataan rasmi yang dikeluarkan di laman media sosial kelab itu pada Ahad, Perak FC sentiasa berusaha dan bersiap sedia untuk memastikan perlawanan yang dianjurkan adalah selamat dan dihadiri semua pihak.
“Kami akan mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa dalam masa terdekat bagi mengenalpasti pelaku dan akan mengambil tindakan larangan kehadiran mereka ke stadium bagi menghentikan pengaruh negatif ini.
“Perak FC mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia serta FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) atas tindakan tangkas mereka dalam menghuraikan pergaduhan dan provokasi antara kedua-dua penyokong.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya tingkah laku buruk yang menimbulkan kekacauan dan mengganggu keharmonian,” kata pihak pengurusan dalam satu kenyataan.
Empat individu ditahan susulan kekecohan yang berlaku ketika perlawanan Liga Super di antara Perak FC dengan Selangor FC di Stadium Perak pada malam Sabtu.
Media melaporkan, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan dipetik sebagai berkata berkata, mereka yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 18 hingga 26 tahun selepas dikenal pasti terlibat dalam insiden kekecohan terbabit.
Rakaman video mengenai insiden tersebut juga tular di media sosial menunjukkan sekumpulan penyokong tuan rumah menyerbu masuk ke arah tempat duduk pasukan pelawat sebelum sempat dileraikan pasukan keselamatan.