AKSI Liga Super antara Perak FC dan PDRM FC di Stadium Perak, Ipoh pada Jumaat secara tiba-tiba mendapat perhatian ramai apabila skuad Sang Saka Biru mengambil keputusan untuk merehatkan ketua jurulatih, Azzmi Aziz pada Isnin.

PDRM FC yang sedang dalam kemuncak prestasi apabila memenangi tiga perlawanan berturut-turut keatas Kelantan FC, Selangor FC dan Sabah FC kini terpaksa berhadapan Skuad Seladang tanpa kehadiran ketua jurulatih.

Namun bagi penolong jurulatih, Eddy Gapil, dia tidak mahu memikirkan situasi di luar padang itu sebaliknya dia percaya anak-anak buahnya cukup profesional dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengutip tiga mata penuh apabila bertandang ke Ipoh.

“Semua pemain sangat positif dengan apa yang berlaku tetapi kami perlu teruskan apa yang dilakukan. Kami hanya buat apa yang sepatutnya sebagai pemain dan jurulatih.

“Persiapan menentang Perak semestinya kami berharap untuk dapat mata maksimum. Apa yang berlaku ada sedikit menggangu tetapi pemain profesional dan akan teruskan perjuangan kelab.

“Dengan situasi semasa ada sedikit tekanan tetapi saya percaya semua pemain bersedia kerana tidak berlaku perubahan besar dalam latihan dan mereka hanya perlu menjalankan tugas mereka sebagai pemain,” katanya.

 

Sementara itu penolong jurulatih Perak FC, V. Saravanan pula dapat melihat perubahan positif dalam pasukan sejak diambil alih oleh Yusri Che Lah dan perlawanan esok adalah penentu sama ada para pemain sudah dapat mengadaptasi corak permainan yang dikehendaki barisan kejurulatihan.

Dia juga hanya fokus kepada pasukan sendiri dan tidak mahu fokus kepada pergolakan yang berlaku dalam kem PDRM FC selain mahu para pemain memberikan aksi terbaik apabila diturunkan untuk mendapatkan keputusan yang positif.

“Dari segi persiapan selepas empat minggu diambil alih Yusri Che Lah, banyak perubahan telah berlaku dari segi taktikal dan harap pemain memahami kehendak yang diinginkan dan harap dapat tunjukkan peningkatan selepas dua perlawanan dengan esok adalah penentuan sama ada pemain faham apa yang Yusri mahukan.

“Dalam Liga Super, semua perlawanan adalah penting. PDRM adalah pasukan yang bagus apabila bertahan dan serangan balas. Kami seri di Kelana Jaya pada pusingan pertama dan kami ada senjata sulit untuk tewaskan mereka dengan semua pemain bersedia untuk menyumbang kepada pasukan.

“Apa yang berlaku pada PDRM sedikit sebanyak pasti menggangu tumpuan mereka namun kami tidak fokus perkara itu hanya fokus pada pasukan. Perkara ini normal dan terjadi pada Perak juga.

“Pemain mereka tetap pemain yang sama dan mempunyai kualiti dan kami hanya ikut perancangan kami sendiri dengan aksi positif untuk mendapatkan mata,” jelasnya.

Perak kini memerlukan tiga mata penuh untuk memperbaiki kedudukan dari tangga ke-11 liga selepas 14 perlawanan manakala PDRM pula mahu meneruskan rentak cemerlang untuk mencari kemenangan keempat berturut-turut sekaligus mencabar kelompok atasan Liga Super.