PIHAK pengurusan Perak FC masih memberi kepercayaan penuh kepada ketua jurulatihnya, Yusri Che Lah untuk mengemudi pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Meskipun pasukan The Bos Gaurus mengalami kemerosotan prestasi dengan hanya mencatat satu kemenangan, pihak pengurusan masih lagi yakin dengan kemampuannya untuk mengembalikan semula prestasi Perak ke tahap yang sebenar.
“Pertama sekali, kami dengan rendah hati memohon maaf di atas prestasi yang ditampilkan oleh pasukan kita pada perlawanan minggu lalu. Seperti semua peyokong sekalian, kami turut berasa sangat kecewa dengan kekalahan ini. Lebih-lebih lagi apabila kita mengetahui kualiti pasukan Perak FC yang mampu beraksi dengan tahap yang lebih tinggi.
“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi sokongan penuh kepada Ketua Jurulatih, Yusri Che Lah. Pihak pengurusan yakin dengan kemampuannya dan kita harus ingat Coach Yusri adalah individu yang berjaya membimbing pasukan ke separuh akhir Piala Malaysia 2023 dengan menewaskan pasukan hebat seperti Kedah dan Sabah pada saingan musim lalu.
“Menewaskan Kedah sekali lagi musim ini membuktikan kita adalah pasukan yang boleh bersaing. Kami tetap yakin pasukan ini akhirnya akan lebih utuh dan beraksi seperti yang kita jangkakan. Musim ini adalah musim yang sangat mencabar. Kami mempunyai pelbagai cabaran dan halangan untuk diatasi, dalam masa kami mempunyai sumber yang terhad untuk menanganinya satu demi satu,” kata Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi dalam satu kenyataan media.
“Kami sedar keputusan perlawanan mash tidak berpihak kepada kita dan sepatutnya melakukan jauh lebih baik.
“Perancangan awal tahun ini adalah kami meletakkan objektif menstabilkan kedudukan pasukan di kelompok pertengahan liga. Sudah pasti coach Yusri dan semua pemain Perak FC berazam untuk meraih kemenangan dan mencapai kejayaan yang setinggi mungkin.
“Pihak pengurusan Perak FC sentiasa bekerja tanpa jemu untuk menyediakan satu pasukan yang kompetitif dan menghiburkan untuk peminat The Bos Gaurus.
“Kami mengaku yang kami mash belum sempurna. Namun, kami beriltizam dan terus komited dalam memastikan perkara ini pasti akan berhasil, dan saya memberi jaminan kepada peminat Perak FC, kami sebagai pemilik kelab akan terus kekal di sini memacu pasukan kebanggaan rakyat negeri Perak,” tambahnya lagi.
Perak FC mengalami kekalahan yang keempat dalam saingan liga pada hujung minggu lalu selepas tewas kepada kepada seteru utara, Penang FC 2-0.
Kekalahan itu meletakkan pasukan The Bos Gaurus dalam kolompok tiga pasukan terbawah dalam carta Liga Super.