KETUA jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mahu semua pemainnya segera mendapat rentak permainan yang dilihat menjadi masalah buat The Bos Gaurus dalam perlawanan terdahulu.
Ini kerana dia sedar mereka bakal menghadapi juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi tertunda Liga Super 2024-25 di Stadium Sultan Ibrahim dengan Perak bakal menjadi tuan rumah dalam perlawanan pada Ahad.
Pertembungan di Ipoh ditunda sebanyak dua kali ekoran keadaan padang yang tidak sesuai dimainkan selepas hujan lebat dan Malaysian Football League (MFL) telah memilih Stadium Sultan Ibrahim sebagai venue tuan rumah buat Perak untuk mengelakkan sebarang penangguhan perlawanan sekali lagi.
“Kita perlu menilai kembali tahap keyakinan pemain terutama dalam kawalan bola kerana mereka dilihat lambat mendapat rentak dalam permainan dan dan saya perlu perbaiki kelemahan ini.
“Saya melihat perkara ini ianya tidak boleh diteruskan terutama apabila berdepan pasukan seperti JDT dan satu persiapan yang cukup mantap perlu dilakukan pasukan kami selepas mendapat dua keputusan seri sebelum ini,” katanya.
Perak yang sebelum ini mencatat tiga kemenangan berturut-turut bagaimanapun gagal mengulangi konsistensi apabila tidak meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir dan hanya mengutip dua mata.
Lawan mereka, JDT pula sedang dalam prestasi terbaik apabila berjaya meraih kemenangan dan ‘clean sheet’ dalam dua perlawanan di pertandingan yang berbeza yang mana bakal menjadi ujian buat Yusri dan anak-anak buahnya.
Hector Bidoglio pastinya akan menurunkan kesebelasan terbaik terutama Bergson da Silva yang sudah menjaringkan 16 gol dalam liga selain kepantasan Arif Aiman Hanapi untuk terus memburu kemenangan ke-13 Liga Super musim ini.
JDT juga mungkin akan menggunakan aksi ini untuk menurunkan bekas bintang Real Madrid, Jese Rodriguez yang melakukan debut ketika Harimau Selatan menewaskan Negeri Sembilan FC 0-4 pada 1 November lalu.
Menurut rekod, lima pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan menyaksikan JDT menang kesemua perlawanan dan menjaringkan 27 gol manakala Perak hanya mampu membolosi gawang JDT sebanyak dua kali sahaja.