PERAK FC tidak menunggu lama buat ‘kerja rumah’ apabila membawa masuk pemain pertahanan import baharu, Jesper Gunnar Fernando Nyholm menjelang jendela perpindahan kedua yang bakal dibuka bermula 12 Julai depan.

Kehadiran pemain kebangsaan kacukan Sweden-Filipina berusia 29 tahun itu dinilai tepat bagi mengukuhkan kembali barisan pertahanan The Bos Gaurus yang mulai lesu dan tak bermaya dalam aksi Liga Super.

Memetik laman Youtube TBG TV pada Isnin, Nyholm kelihatan ceria dan bertekad memberikan aksi terbaik buat pengurusan dan penyokong setia.

“Kelab telah banyak membantu saya sekarang dengan semua pergerakan saya dan segala-galanya. Untuk liga, saya harap menyumbang banyak kepada pasukan sekarang.

“Saya harap dapat berjumpa anda (peminat) tidak lama lagi dan saya akan berada di sana dan memberikan yang terbaik (untuk Perak FC),” katanya.

Liga Asia Tenggara tidak asing buat Nyholm kerana miliki pengalaman bermain untuk kelab Muangthong United dalam kempen Liga Thailand 1 pada musim 2022-23.

Setakat ini, selepas berdepan 15 perlawanan Liga Super 2023, Perak sekadar berada di tangga ke-11 dengan sembilan mata hasil dua kemenangan dan tiga keputusan seri.