PERAK FC bakal membuat pertaruhan dalam aksi persahabatan pertama sebelum memulakan liga musim ini, dengan menentang Geylang International FC pada Sabtu malam.
Perlawanan tersebut dianggap sebagai medan untuk menguji keserasian antara 24 pemain yang telah terpilih untuk bersama dengan pasukan The Bos Gaurus menjelang saingan bola sepak Liga Malaysia musim 2024-2025 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin mengumumkan perlawanan persahabatan yang akan diadakan pada jam 10 malam ini menerusi kiriman di laman Facebook rasmi TBG Super Fan.
“Cabaran yang semakin memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Harapan untuk mendapat penaja amat kompetitif sesuai dengan keadaan setempat.
“Saya bergantung harap kepada peminat untuk hadir ke stadium, mahupun permintaan untuk membuat siaran secara langsung perlawanan hanya daripada segolongan kecil peminat.
“Jika tiada sokongan, dimana sukan ini akan berada tidak lama lagi? Kami perlu terus berusaha,” ujar beliau dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebook rasminya.
Bobbie dalam masa yang sama telah meluahkan bahawa kelabnya itu telah cuba sedaya upaya untuk meraih pendapatan sendiri sejurus mengharungi setiap cabaran dari segi kekangan wang.
“Sehingga kini, kami masih berdiri di atas kaki sendiri dengan produk yang ditawarkan sebagai usaha untuk menampung kewangan kelab ini,” katanya.
Perlawanan antara Perak FC dan Geylang FC boleh ditonton secara fizikal di Stadium Ipoh, Perak, namun bagi penyokong yang tidak berkesempatan untuk hadir ke stadium, mereka boleh melanggan siaran langsung menerusi pautan yang tertera di sini.