PERAK FC beraksi tempang kurang seorang pemain disebalik kekalahan 3-0 semasa menerima kunjungan Sri Pahang FC pada saingan Liga Super di Ipoh pada Khamis.

Turun dengan penuh bersemangat waja sebaik wisel pertama bagi menebus disingkirkan kempen Piala FA, skuad The Bos Gaurus mengatur permainan dan melancarkan serangan ke kubu Pahang.

Tetapi, pelawat berjaya mendahului kedudukan hasil gol Kpah Sherman m-13 sekali gus menembus kehampaan tandukannya yang tersasar ke sebelah kanan seawal minit kelima.

Perlawanan ini juga menyaksikan pemain tengah Tok Gajah, Nor Azam Azih melakukan penampilan ke-200 sejak debut pada 2015.

Perak cuba menyamakan kedudukan namun percubaan Shafizi Iqmal Md Khirudin m-14 tinggi melepasi palang gol lawan manakala tandukan Christian Obiozor tersasar begitu juga sepakan percuma yang diambil Shafizi Iqmal sekadar sipi sebelah kiri.

Kealpaan Perak memburu gol dihukum pemain pertahanan Stefano Brundo yang menggandakan jaringan m-36. Padah menimpa Nasrol Amri Kamarul Azhar apabila dikenakan layangan kad merah kerana menjatuhkan Sergio Aguero yang sedang membawa bola ke kawasan berbahaya Perak.

Datuk Lim Teong Kim mencari formula baharu mengeluarkan Hadi Fayyadh dan memasukkan Wan Zack Haikal yang kemudiannya mendapat tepukan semangat kira-kira 5,700 penyokong The Bos Gaurus.

Namun, ianya tidak mampu menyekat Fandi Ahmad dan anak buahnya yang terus ‘naik minyak’ apabila pemain gantian Zuhair Aizat Nazri memastikan sisa kebangkitan tuan rumah diranapkan untuk gol m-73.

Perlawanan berikutnya, Perak akan bertandang ke Stadium Bandaraya bertemu Penang FC pada 31 Mac depan.