DALAM kemeriahan pertemuan diantara Perak FC dan Kelantan FC di Kota Bharu tempoh hari, malangnya terdapat beberapa insiden keganasan yang melibatkan penyokong serta berlaku kerosakan ke atas kenderaan penyokong Perak FC dan ada juga beberapa orang penyokong yang cedera.

Ketua Pegawai Eksekutif bagi pihak Lembaga Pengarah Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin berkata, walaupun pihaknya amat hargai dengan penyokong yang bersemangat dan setia, Perak FC ingin menjelaskan tidak akan bertolak ansur dengan penyokong yang mencetuskan aktiviti ganas dan menghasut.

“Bagi kami mereka tidak mempunyai tempat di stadium.

“Perak FC akan bertindak segera bertindak ke atas sebarang aduan atau laporan rasmi terhadap tingkah laku penyokong kami dan akan mengambil tindakan paling tegas untuk melarang pengaruh sedemikian daripada disebarkan.

“Perak FC juga akan memberi jaminan kepada semua penyokong, pasukan bola sepak serta MFL dan FAM bahawa kami akan memastikan bahawa tahap keselamatan akan sentiasa berada pada tahap optimum pada perlawanan kami di Ipoh untuk meminimumkan keganasan,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Dia memaklumkan, semangat dan kesungguhan peminat bola sepak memang terkenal dan Perak FC memahami perkara ini lebih-lebih lagi di Malaysia yang melibatkan sukan utama serta kebanggaan negara.

“Dalam memastikan jangka hayat, kelestarian dan juga peningkatan mutu Liga Bola Sepak Malaysia, ia menjadi kewajipan kepada setiap kelab untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk penyokong yang menghadiri perlawanan.

“Perak FC komited dengan agenda ini dan akan bekerjasama rapat dengan pasukan lain untuk memastikan keganasan penonton akan dihapuskan secara beransur-ansur daripada landskap kami,” katanya lagi.