PERAK FC tidak akan menggunakan kuota sembilan pemain import pada musim hadapan dalam saingan Liga Malaysia seperti yang dibenarkan oleh Malaysian Football League.
Demikian kata Pegawai Eksekutif (CEO) sementara Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin ketika dalam sesi bersama media di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.
“Buat masa sekarang Lim (Teong Kim) belum lagi minta pemain import. Ni yang saya suka macam Teong Kim cakap tadi kita percaya kepada pemain tempatan seperti pasukan PJ City FC sebagai contoh. Pasukan itu seri dengan Johor Darul Ta’zim baru-baru ini.
“Kita telah membuktikan dengan pemain yang ada kita boleh bersaing.
“Jadi fundamental Perak tidak akan menggunakan sembilan pemain import,” katanya.
Hadir sama Pengerusi Perak FC Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Ketua Jurulatih Perak FC 2023, Lim Teong Kim dan Jurulatih B-23 Perak FC 2023, Yusri Che Lah.
Sementara itu, Abdul Azim menyasarkan Teong Kim untuk membawa pasukan The Bos Gaurus berada pada kelompok pertengahan liga musim depan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI).
“KPI 2023 Perak FC di kedudukan pertengahan liga, tetapi jika boleh lebih baik daripada itu adalah ganjaran dan bonus tapi kita tidaklah bercita-cita menjuarai liga musim hadapan.
“Cuma kita pun tahu akan makan masa sediakan pasukan yang mantap. Ia bukan semudah bawa Lim Teong Kim dan kita menang kesemuanya.
“Ia memerlukan membawa pemain baru, pemain lama dan gandingan sepadu. Jadi untuk tahun hadapan itulah KPI,” katanya sambil menjelaskan Perak FC ada bajet diperuntukkan kepada Teong Kim bagi mendapatkan senarai pemain baharu.
Dalam pada itu, Teong Kim memberitahu inginkan pemain yang sentiasa berkerja kuat dan bersungguh-sungguh serta tahu tanggungjawab mereka di padang juga diluar padang.
“Paling penting sebagai jurulatih kelab adalah paling penting sekali dan bukan individu. Jadi sesiapa yang mahu bermain untuk kami harus ada kriteria ini.
“Saya tahu sasaran pemain saya tetapi tak mahu berkongsi kepada kamu (media). Nanti pemain semua lari atau semua orang beli,” ujar bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu.