PERAK FC mahu bersedia memulakan kempen Liga Super 2023 dengan langkah kanan sekali gus membolehkan pasukan berada di laluan tepat dalam misi kekal menghadirkan cabaran pasukan lawan.

Bekas juara Piala Malaysia 2018 itu mempunyai misi mustahak untuk kembali bangkit mengembalikan semula maruah kelab yang tercemar teruk musim lepas.

Justeru, pertembungan dengan jiran Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Perak dianggap penting untuk mereka memperoleh motivasi terbaik dalam menuju sasaran diharapkan kali ini.

Atas kertas, kelebihan seolah-olah milik Sang Kenari kerana serius pada kempen pramusim termasuk terbang ke Turkiye mengadakan perlawanan persahabatan bertemu kelab luar negara.

Sedangkan Perak musim ini memanaskan badan bertemu pasukan tempatan. Namun ia bukanlah kayu ukuran apabila saingan sebenar hanya ditentukan menjelangnya kancah liga yang bermula pada malam esok.

Menampilkan gabungan muka baharu dan muda serta awang import, Perak yang dibawah regim Datuk Lim Teong Kim tekad tidak mahu mengecewakan harapan menggunung pemain ke-12 mereka yang sentiasa berdiri teguh dibelakang pasukan.

“Kalau stadium ini boleh mengisi 50,000 saya harap esok padang ini penuh, kerana semasa saya main dimana-mana saya pergi main stadium pergi sentiasa penuh. Saya pasti, kita perlu penonton melihat team dan menyokong saya dan pemain kami tidak akan mengecewakan fans.

“Ini satu janji saya buat untuk penonton kami. Kami takkan kecewakan kita nak mereka datang ke stadium tolong kami sebagai pemain ke-12 dan kita akan bermain dengan semangat yang tingi, bersungguh-sungguh sehingga wisel penamat,” kata Teong Kim semasa sidang media bersama Nadi Bola di Stadium Perak pada Jumaat.

Musim ini, antara pemain berpengalaman yang sudah dibawa masuk adalah penjaga gol Bryan See (29 tahun), Wan Zack Haikal Wan Nor (32) dan pemain import Nigeria Christian Obiozor (28).

Terdahulu, Perak sah mengikat Lee Joo-han, Sim Hyun-ki dan Seo Sun-ung yang kesemuanya berasal dari Korea Selatan

Joo-han, 21, beraksi di bahagian tengah dengan Hyun-ki, 22, pula berada di bahagian pertahanan. Sementara Sun-ung, 23, pula dijangka merebut tempat dengan pemain baharu, Hadi Fayyadh dan Obiozor di bahagian serangan.