PENOLONG ketua jurulatih Perak FC, V Saravanan percaya The Bos Gaurus dapat bangkit dalam perlawanan akan datang dan ‘membunuh’ semua kekalahan jika permainan sama dikekalkan ketika bertemu Sri Pahang FC.

Pada aksi ke-18 Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Perak hanya tewas 0-1 hasil jaringan tunggal Kpah Sherman dalam babak kedua walaupun miliki beberapa peluang menggegarkan jaring lawan.

Ujar bekas pemain kebangsaan itu, kesungguhan pemain terutama daripada segi sikap, tenaga dan gaya permainan yang menunjukkan peningkatan memperlihatkan perbezaan berbanding perlawanan lepas.

“Saya puas hati dengan persembahan, dan sudah tentu keputusan berpihak kepada Pahang. Saya rasa kalau begini punya persembahan, saya yakin kita akan dapat lebih baik perlawanan akan datang.

“Boleh juga dikatakan faktor nasib tetapi kita kena ada juga kualiti yang boleh membunuh kaedah ciptaan dan peluang itu. Itu kekurangan kita berbanding Pahang.

“Mereka dapat peluang dan skor satu. Tapi benda ini adalah proses buat pemain,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

ARTIKEL BERKAITAN : Tok Gajah mandi peluh tewaskan Perak FC

Perak kini berada pada kedudukan ke-11 dalam saingan Liga Super dan Saravanan akan melakukan kerja keras untuk keluar daripada berada di zon bahaya penyingkiran ke Liga M3 musim depan.

Dia turut memuji beberapa pemain yang diturunkan menggantikan posisi pemain sedia ada dan akui masih mencari mencari rentak dan keserasian sejak kemasukan tenaga baru pada jendela perpindahan kedua baru-baru ini.

Selepas ini, Perak akan bertemu Kedah Darul Aman FC dalam aksi derby utara untuk saingan pusingan 16 Piala Malaysia pada Khamis di Ipoh.