BEKAS ratu boling kebangsaan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi secara rasmi dilantik sebagai jurulatih boling sepenuh masa untuk membawa cabaran Perak di Sukan Malaysia (Sukma 2024) bermula Januari 2024.
Afifah berkongsi sendiri berita baik ini menerusi hantaran di media sosial peribadinya sekali gus menyaksikan dia kembali menabur bakti di negeri Perak selepas cemerlang sebagai pemain bermula tahun 2006 hingga 2012.
Pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 2017 di Las Vegas itu turut mengakui terlebih dahulu dilamar negeri lain namun terpaksa menolak meskipun pasukan itu mempunyai reputasi cukup besar kerana ingin membalas jasa negeri Perak atas kejayaan dalam kerjayanya.
“Terima kasih MSN Perak dan Persatuan Tenpin Boling Perak diatas kepercayaan yang diberi menjadi jurulatih kepada pasukan boling Perak ke Sukma 2024.
“Awal 2023 Fifah dapat tawaran dari satu negeri sangat cemerlang dengan pencapaian sukannya dan mempunyai banyak dana sukan. Fifah bermula dari Perak seawal 10 tahun lagi, jadi Fifah terpaksa menolak tawaran itu kerana dah sampai masa untuk Fifah bantu sukan boling di Negeri Perak. Jadi sekarang saya di sini untuk berikan semula kepada negeri Perak dan sukan yang paling saya suka.
“Penglibatan pertama Fifah dalam Sukma pada edisi 2006 di Kedah yang mana masa itu Fifah baru 15 tahun. Sukma pertama Fifah memenangi dua emas diikuti 2008, 2010 dan 2012. Dengan empat emas, dua perak dan dua gangsa,” tulisnya di Instagram.
Atlet berusia 33 tahun itu yakin dengan pengalaman yang ada padanya, dia mampu berkongsi bersama atlet Perak selepas dia mengumumkan persaraan secara rasmi pada September 2020 dan terlibat dalam dunia lakonan.