JUARA dunia, Perancis akan dicabar Maghribi pada separuh akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Al Bayt awal pagi esok.

Perancis diramal layak kerana disifatkan lebih berpengalaman. Pemenang perlawanan itu kemudiannya akan menentang Argentina untuk trofi kejuaraan hujung minggu ini.

Les Bleus memanfaatkan kemenangan susah payah ke atas England dengan jaringan 2-1 pada suku akhir. Dalam perlawanan itu, Perancis terpaksa bertahan daripada tekanan Three Lions sepanjang separuh masa kedua. Nasib turut menyebelahi Perancis selepas sepakan penalti Harry Kane tersasar pada saat yang genting.

Sementara itu, Maghribi melakukan pecutan sensasi di Piala Dunia 2022. Singa Atlas itu tanpa diduga berjaya memenangi kumpulan sukar (bersama Belgium dan Croatia) untuk layak ke peringkat kalah mati sebelum menewaskan Sepanyol dan Portugal.

Pemain antarabangsa Perancis, Clement Lenglet berpendapat perlawanan menentang Maghribi akan menjadi sukar.

Bagaimanapun, Lenglet percaya bahawa Kylian Mbappe dan rakan sepasukan akan berjaya kerana pengalaman.

“Ini adalah perlawanan penting untuk kedua-dua pasukan. Kami gembira bertemu pasukan Afrika di separuh akhir.

“Saya pasti kita akan menyaksikan perlawanan dengan intensiti tinggi dan banyak pertembungan, mereka adalah pasukan yang sangat, sangat sukar.

“Saya percaya Perancis mempunyai pengalaman. Mereka telah memenangi perlawanan sukar menentang England semasa perlawanan, ia tidak selalunya mudah. ​​Apabila anda memenangi perlawanan seperti itu anda sudah bersedia sepenuhnya.

“Saya fikir Perancis akan melakukannya, mereka mempunyai semua kualiti untuk melakukannya sekali lagi,” kata pemain Tottenham Hotspur itu di Stats Perform.