KEJAYAAN pemain naturalisasi negara, Sergio Aguero menjaringkan gol pertama buat Malaysia dianggap sangat istimewa olehnya terutama apabila mendengar namanya disorak oleh para penyokong di stadium.

Dia juga berharap jaringan ini dapat membantu meningkatkan lagi semangat buatnya untuk memberikan aksi terbaik kepada Harimau Malaya terutama ketika bertemu Vietnam selepas ini.

Aguero juga turut mengakui dia selesa digandingkan dengan sesiapa pun kerana sistem permainan dan dia juga percaya kepada segala perancangan yang telah dilakukan oleh barisan kejurulatihan.

Detik Aguero ketika menjaringkan gol buat Harimau Malaya.

“Sangat sangat gembira dan saya merasakan satu perasaan yang istimewa apabila mendengar para penyokong menyebut nama saya selepas saya menjaringkan gol dan berharap jaringan ini akan meningkatkan lagi keyakinan yang saya inginkan untuk memberikan yang terbaik buat Malaysia.

“Pada perlawanan persahabatan sebelum ini saya merasakan saya sudah berikan yang terbaik tetapi gagal menjaringkan gol dan saya rasakan saya sudah berikan aksi terbaik dalam perlawanan malam ini.

“Pelan permainan yang direka barisan kejurulatihan banyak membantu saya membentuk keserasian ditambah sistem latihan yang bagus daripada jurulatih. Para pemain yang ada ini sangat berkualiti dan lebih cepat kami mengenali satu sama lain lebih cepat kami mampu bermain baik sebagai satu pasukan,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.

Kesebelasan utama Harimau Malaya menentang Laos.

Pemain tengah berusia 28 tahun itu juga mengatakan dia selesa dengan segala perancangan jurulatih meskipun terpaksa bertukar posisi kerana dia tahu jurulatih mempercayai kebolehannya.

“Jika jurulatih mahukan saya bermain sebagai penjaga gol, saya akan lakukan. Saya tidak peduli kerana saya percaya dengan pilihan jurulatih. Biasanya saya bermain di posisi tengah tetapi hari ini dia mahu saya bermain sebagai pemain nombor 9, saya gembira kerana jurulatih percaya kepada saya,” tambahnya.

Sergio Aguero berjaya menjaringkan gol pembukaan skuad kebangsaan dan juga gol pertamanya dalam jersi Harimau Malaya ketika membantu Malaysia membelasah Laos 5-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan B, Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.