BEKAS penolong ketua jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin merakamkan ucapan penghargaan tidak terhingga dan selamat maju jaya buat pengurusan Kuching City FC selepas menawarkan khidmat di kelab itu sejak tiga tahun lalu.
Sulaiman mengikut jejak langkah ketua jurulatih, Irfan Bakti yang melepaskan jawatan selepas prestasi kurang memberangsangkan skuad The Cats dalam saingan Liga Super musim ini.
“Setelah hampir sebulan meninggalkan Kuching City perasaan sayang dan rindu masih menebal selepas tiga tahun dengan kelab dengan kerjasama yang diterima dari barisan kejurulatihan dan para pemain serta kebaikan pengurusan Kuching City.
“Mereka mengambil berat semua perkara dan ini punca kelab ini berada di tahap sebegini dan saya percaya mereka akan bangkit dan kekal dalam saingan Liga Super musim hadapan.
“Pengurusan yang baik ini akan memastikan sebuah pasukan untuk bersaing dan apa yang saya dapat di sana adalah saya tidak perlu risau tentang kebajikan terutama gaji dan saya terhutang budi dengan Pengurus Pasukan YB Fazzrudin Abdul Rahman dan CEO Iswandi Ali Hassan yang menjaga kami dengan baik selama mana kami di sana.
“Akhir sekali saya mahu ucapkan selamat maju jaya, saya juga berharap semoga berjaya bangkit dan kekal dalam Liga Super untuk musim akan datang dan saya percaya ianya boleh dicapai,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Di bawah kendalian Irfan dan Sulaiman, Kuching City FC berjaya menamatkan saingan Liga Perdana musim 2022 di tangga ketiga dan dinaikkan pangkat ke Liga Super untuk musim 2023.
Namun kualiti yang tinggi di Liga Super menyaksikan Kuching City bergelut dengan hanya satu kemenangan, empat keputusan seri dan mengalami 13 kekalahan untuk kini menduduki tangga terakhir liga dengan hanya tujuh mata dari 18 perlawanan.